KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) pernah mencadangkan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor bermula 14 Oktober lalu, namun ia tidak dapat dilaksanakan. Sebaliknya, ia digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Namun, langkah PKPB yang dilaksanakan di beberapa negeri telah berjaya mengelak angka jangkitan kes Covid-19 daripada melonjak secara mendadak dalam negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. ARTIKEL BERKAITAN: Selangor paling tinggi, Malaysia catat 1,041 kes baharu... 3 lagi kematian ARTIKEL BERKAITAN: Panik... PKP di seluruh Malaysia? Ismail Sabri jawab dakwaan ahli politik punca kes Covid-19 meningkat Dr Noor Hisham berkata, pada peringkat awal berlakunya gelombang ketiga wabak itu, beberapa agensi termasuk Imperial College di London contohnya menjangkakan bilangan kes akan meningkat sehingga 5,000 ke 8,000 kes sehari dan beliau sendiri pernah mengatakan bahawa jangkaan KKM adalah 4,500 kes sehari pada hujung Oktober. "Tetapi ini tidak berlaku kerana kita melaksanakan PKPB, jadi ada keberkesanannya. Bagaimanapun, peperangan kita tidak berakhir lagi," katanya dalam Taklimat Khas Covid-19 di Putrajaya, Sabtu. Ia turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Dr Hishamshah Mohd Ibrahim dan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Datuk Dr Norhayati Rusli. Dalam taklimat lebih dua jam itu, Dr Noor Hisham berkata, pada peringkat awal penularan pandemik Covid-19 di negara ini, kerajaan telah melaksanakan PKP yang terbukti berkesan memutuskan rantaian jangkitan namun menyebabkan negara kerugian kira-kira RM2.4 bilion sehari. "Jadi ketika Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara, kami telah mengambil kira antara soal nyawa dan kehidupan termasuk keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi sebelum memutuskan untuk melaksanakan PKPB," katanya sambil menambah KKM ada mencadangkan agar PKP dilaksanakan di Selangor bermula 14 Oktober lalu namun tidak dapat dilaksanakan kerana mengambil kira faktor ekonomi dan digantikan dengan PKPB. Beliau berkata demikian bagi mengulas desakan netizen yang mahukan PKP dilaksanakan semula di negara ini susulan lonjakan kes harian pada gelombang ketiga ketika ini. Dalam pada itu, ditanya adakah KKM akan menjalankan saringan ujian Covid-19 secara besar-besaran di Malaysia, Dr Noor Hisham berkata, buat masa ini pihaknya hanya melaksanakan saringan ujian Covid-19 secara besaran-besaran bersasar seperti individu yang pulang dari tempat berisiko tinggi dan pekerja warga asing. Selain itu, katanya, pihak KKM juga mencadangkan untuk melaksana saringan berkala ke atas pekerja sektor berisiko seperti pembinaan dan pengeluaran di negeri tertentu termasuk Lembah Klang, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Sabah. Sementara itu, Dr Norhayati berkata, Malaysia telah bersedia lebih awal dari segi fasiliti dan sebagainya untuk menangani kebarangkalian berlakunya pandemik seperti Covid-19 yang melanda negara dan dunia. "Pada Disember tahun lepas, Malaysia telah menjemput pakar luar negara dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk membuat penilaian terhadap kesiapsagaan Malaysia terhadap sebarang kejadian yang mungkin akan berlaku, dan pakar-pakar itu mendapati Malaysia telah memenuhi segala keperluan yang digariskan," katanya. Dalam pada itu, beliau berkata, di sebalik kesediaan KKM mengawal pandemik ini, berita-berita palsu yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab merupakan antara cabaran yang perlu ditangani sebaiknya. "Ia antara yang mencabar. Bagaimana nak yakinkan orang awam dan semua peringkat yang ia (Covid-19) memang kejadian sebenar dengan semua individu perlu bersama-sama dengan kerajaan untuk cegah dan mengawal pandemik ini," katanya. - Bernama Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!