suria

“Kepada yang tak setuju, saya minta maaf...” - Ismail Sabri ambil sikap lapang dada, sedar tak semua pengumuman gembirakan rakyat

Datuk Seri Ismail Sabri ketika menyampaikan perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, pada petang Rabu.

"INI kehidupan... saya tak boleh nak puaskan hati setiap individu."

Demikian kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila diminta mengulas mengenai tindakan segelintir pihak yang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan pengumumannya berhubung prosedur operasi (SOP) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.

Ismai Sabri memberi contoh salah satu pengumumannya yang menimbulkan dua reaksi berbeza dalam kalangan rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai resah, tertanya-tanya PKPB di Selangor, KL disambung atau tak? Ini jawab Ismail Sabri

"Sebagai contoh, dua hari lepas saya umumkan restoran buka sehingga 12 tengah malam, alasan saya sebab banyak rungutan, permohonan. Orang yang bekerja syif malam apabila nak makan, banyak kedai tutup dah. Jadi kita buka.

"Orang yang menghadapi masalah kalau kedai buka sampai pukul 10 malam, mereka akan gembira dan berterima kasih kepada saya.

"Tapi ada juga ada kata, kes tengah tinggi macam mana boleh extend (lanjut). Walaupun kita boleh jelaskan kes meningkat kerana lokaliti tertentu, tapi yang tak setuju akan beri alasan dan marah," ujarnya ketika menjawab soalan pemberita sewaktu sidang media pada petang Rabu.

Tambahnya lagi, walaubagaimanapun, dia terbuka dengan apa jua pandangan rakyat namun memohon maaf jika ada pihak yang tidak gembira dengan beberapa perkara yang diumumkannya.

"Saya tak boleh gembirakan hati setiap individu, tapi selagi pengumuman saya buat itu ada pihak yang gembira, jadi saya rasa gembira.

"Kepada yang tak setuju, saya minta maaf... saya tak boleh nak puaskan hati setiap individu di negara kita dengan setiap pengumuman yang dibuat," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ismail Sabri, minta maaf, pengumuman, SOP

Artikel Lain