suria

Segalanya berubah akibat Covid-19, MOOC platform Gen Y terokai ilmu masa depan

KPT berharap inisiatif yang ditawarkan dapat meringankan beban pelajar IPT dalam memastikan aktiviti PdP secara dalam talian ini dapat dijalankan dengan efektif dan lancar.

PENULARAN wabak Covid-19 ternyata memberi kesan luar biasa buat setiap rakyat di negara ini.

Ditambah pula dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu, kehidupan kita bagaikan berubah hampir sepenuhnya.

Antara yang turut terkesan tentunya pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sehingga proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka kini dijalankan secara dalam talian.

Tempoh getir itu bagaikan tiada berpenghujung apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diperkenalkan semula bermula 14 Oktober hingga 27 Oktober dan dilanjutkan sehingga 6 Disember 2020 dengan PdP secara dalam talian kembali dilaksanakan sepenuhnya selama 14 minggu sesi perkuliahan

Dalam tempoh ini juga, teknologi amat diperlukan seiring dengan idea Revolusi Industri 4.0 yang melibatkan penggunaan teknologi baharu seperti Internet of Things (IoT), data raya serentak dengan pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Pengajian Tinggi (PT) 2015-2025 lonjakan yang ke-9: Pembelajaran dalam Talian Tahap Global yang mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran pelajar yang cenderung kepada teknologi terkini.

Seiring dengan keperluan semasa khususnya dalam tempoh pandemik yang sedang melanda, kepentingan PdP secara dalam talian terus diberi perhatian oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menerusi pelancaran Pakej Pelan Data dan Peranti kepada pelajar IPT.

Antara yang diumumkan termasuklah bantuan tunai RM50, bantuan Pelan Data yang mana sim kad akan diagihkan kepada pelajar dengan kerjasama syarikat telekomunikasi Celcom, Digi, Telekom Malaysia, Maxis, Yayasan YTL dan Lembaga Tabung Haji, bantuan komputer riba dan penawaran diskaun istimewa daripada syarikat pengeluar peranti seperti Acer dan Samsung.

Malah, pihak KPT berharap bantuan dan inisiatif yang ditawarkan ini dapat meringankan beban pelajar IPT dalam memastikan aktiviti PdP secara dalam talian ini dapat dijalankan dengan efektif dan lancar.

Menurut Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ghazali Zainuddin, bantuan yang disalurkan perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya agar ia memberi faedah besar buat golongan pelajar itu sendiri.

"Seharusnya bantuan ini dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh pelajar agar proses PdP berkembang seiring dengan terbinanya Massive Open Online Course (MOOC) di universiti awam.

"Pelaksanaan MOOC harus digalakkan dengan lebih meluas kerana generasi Y lebih mudah menerima perubahan dan inovasi, pantas dan cepat memahami apa yang disampaikan secara e-pembelajaran.

"Peluang ini telah diambil oleh UPM antara universiti awam yang aktif mengaplikasi MOOC dengan memperkenalkan PutraMOOC pada April 2014 sebagai pembelajaran pilihan dalam kalangan pelajar dan pensyarah. Sehingga kini lebih kurang 28 kursus MOOC telah dibangunkan oleh pensyarah UPM,"ujarnya.

Apakah MOOC?

Pasti ramai lagi yang masih kurang mengerti mengenai MOOC.

Secara umumnya, MOOC adalah kursus dalam talian dengan tajuk yang trending dan terkini untuk menarik perhatian pelajar.

Malah, pensyarah boleh memilih membangunkan MOOC masing-masing sama ada dari kursus umum, kursus tujahan atau kursus kemahiran bersifat pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan profesional.

Setiap kursus MOOC perlu melalui proses jaminan kualiti yang diterajui oleh Jawatankuasa Jaminan Kualiti untuk setiap kursus yang dibangunkan.

Mengikut Panduan Pembangunan MOOC Malaysia, format pengendalian kursus adalah dalam bentuk video asli berdurasi lima minit sebagai topik disertai dengan kandungan multimedia interaktif untuk mengukuhkan pemahaman pelajar.

Setiap topik juga perlu mengandungi subtopik, hasil pembelajaran, kandungan yang interaktif, diikuti aktiviti seperti kuiz, penyelesaian masalah dan sebagainya.

Selain itu, pentaksiran juga disediakan oleh pensyarah antaranya kuiz berbentuk aneka pilihan, aneka jawapan, isi tempat kosong dan akhirnya pentaksiran tersebut akan diberi gred secara automatik.

Bagi menambahkan lagi pengetahuan pelajar, pembangun MOOC perlu membekalkan mereka dengan bahan rujukan tambahan seperti video, artikel jurnal dalam bentuk pdf dan sebagainya.

Perlu diketahui, tidak mudah untuk pensyarah membina MOOC, malah mereka perlu memilih ahli yang mahir untuk menjadi pereka grafik, krew rakaman video, penyunting, pereka bentuk dan sebagainya.

Namun, segala halangan ini boleh diatasi kerana keahlian tidak terhad kepada pensyarah semata-mata malah melibatkan pelajar dan kumpulan sokongan asalkan mahir dan celik teknologi.

Ia penting kerana kualiti dan keaslian topik serta kandungan MOOC amat dititikberatkan.

Justeru, setiap kursus MOOC perlu melalui proses jaminan kualiti yang diterajui oleh Jawatankuasa Jaminan Kualiti untuk setiap kursus yang dibangunkan.

Harus diingat, biarpun MOOC menjadi alternatif kepada pensyarah, pembangun tidak boleh membiarkan pelajar menggunakan MOOC tanpa bimbingan kerana pelajar masih memerlukan interaksi dua hala antara mereka dan pensyarah untuk meningkatkan lagi pemahaman sedia ada.

Sebagai generasi Y yang tidak hanya bergantung kepada pembelajaran secara bersemuka, mereka memerlukan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang mudah dan cepat... maka MOOC adalah jawapannya.

Diharap MOOC terus berkembang menjadi konsep baharu dan terkini dalam proses pengajaran dan pembelajaran maya dengan sentiasa menambah baik sistem sedia ada mengikut keperluan semasa.

Malah, kajian Pensyarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Mohd Erfy Ismail menunjukkan penggunaan MOOC berjaya meningkatkan motivasi dan minat pelajar hingga menjadikan pembelajaran lebih menarik.

Jadi, wajar sekiranya MOOC diperluaskan lagi penggunaannya kerana ia dilihat sebagai kursus pembelajaran masa kini dan masa depan.

***Profesor Madya Dr. Akmar Hayati Ahmad Ghazali adalah pensyarah Universiti Putra Malaysia dan Karyawan Tamu Kementerian Pengajian Tinggi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain