SERAMAI 3,000 pegawai imigresen dikuarantin di mana daripada jumlah itu, 20 kes positif Covid-19 dikesan, demikian Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud. Khairul berkata sehingga 25 November lalu, hampir 3,500 kakitangan sudah menjalani ujian saringan Covid-19. Menurut Khairul, petugas Jabatan Imigresen berhadapan risiko terdedah kepada virus itu kerana berada paling hampir dengan warga asing dan pendatang tanpa izin yang belum dipastikan tahap kesihatan mereka. Namun ujarnya, kakitangan jabatan itu tetap komited melaksanakan dasar kemasukan warga asing yang diputuskan kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN). "Bukan sahaja sebagai benteng pertama pintu masuk negara menghadapi pelawat asing yang berisiko membawa virus Covid-19 tetapi turut terlibat secara langsung dalam tugasan berkaitan kawalan dan pencegahan pandemik Covid-19," katanya menerusi satu kenyataan bersempena sambutan Hari Imigresen 2020, pada Selasa. Selain di pintu masuk, penglibatan imigresen dapat dilihat di kawasan tumpuan warga asing, pusat rawatan dan kuarantin warga asing seperti di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang dan operasi penguatkuasaan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). "Sejak Januari hingga 30 November lalu, imigresen melaksanakan sebanyak 6,379 operasi penguatkuasaan di seluruh negara melibatkan pemeriksaan 93,475 individu serta penahanan 34,920 pendatang tanpa izin dan 376 majikan," katanya lagi. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!