suria

Milisaat yang berharga! Pengurusan kualiti kuasa Malaysia antara yang terbaik di dunia

Malaysia memperbaiki kedudukan dalam kategori Mendapatkan Elektrik dari kedudukan ke-60 pada tahun 2011 ke tempat keempat di dunia tahun lalu.

BEBERAPA barisan pengeluaran di kilang berteknologi tinggi hanya memerlukan 200 milisaat untuk mengalami gangguan operasi.

Cuba bandingkan betapa pantasnya kadar itu dengan mata manusia yang mengambil masa 100 ke 150 milisaat untuk setiap kerlipan.

Sekiranya penurunan voltan dari grid kuasa melebihi paras 50 peratus hanya dalam 200 milisaat, peralatan berteknologi tinggi mungkin terganggu, dan berpotensi mengakibatkan kerugian mencecah jutaan ringgit.

"Jika lampu di rumah saya tiba-tiba berkelip, maka saya tahu beberapa peralatan di kilang akan menghadapi masalah," kata Pengarah Perkhidmatan Korporat Intel Malaysia, Asia Tenggara dan Australia, K.W.Lee.

Bagaimanapun Lee mengakui, dalam kebanyakan waktu ia bukanlah disebabkan kesilapan manusia, sebaliknya disebabkan faktor alam itu sendiri.

"Kita menerima banyak aktiviti kilat di Malaysia. Ketika kilat terkena menara penghantaran, arus daripada kilat tersebut akan disalurkan ke bumi untuk melindungi pepasangan daripada mengalami kerosakan. Proses ini akan menyebabkan kejadian “voltage sag” berlaku dalam tempoh kurang dari 100 milisaat.

"Kebanyakan peralatan elektrik di rumah tidak akan menghadapi masalah sekiranya ia berlaku, namun lain ceritanya melibatkan peralatan teknologi tinggi dalam industri elektrik dan elektronik (E&E)," jelas Lee.

Berapa kerapkah perkara ini berlaku? Bilangan kejadian setahun berbeza-beza namun kami pernah mengalami sebanyak 17 kejadian setahun.

Malaysia menerima kadar kilat yang tinggi.

Namun katanya, tidak semua penurunan kadar voltan itu akan memberi kesan kepada aspek pengeluaran.

"Kredit harus diberikan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) Malaysia sememangnya mempunyai salah satu grid kuasa paling stabil di dunia.

"Ini adalah salah satu kualiti terpenting untuk menarik fasiliti pembuatan berteknologi tinggi dan itulah sebabnya Intel berada di Malaysia sejak 1972," katanya.

Bukan omong kosong

Berdasarkan penerbitan Bank Dunia 2020 mengenai 'Doing Business 2020' baru-baru ini, Malaysia berjaya memperbaiki kedudukannya dalam kategori Mendapatkan Elektrik dari kedudukan ke-60 pada tahun 2011 ke tempat keempat di dunia tahun lalu.

Untuk memastikan Malaysia terus berada dalam kedudukan itu, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) berusaha memastikan pihak berkepentingan dalam industri berteknologi tinggi bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan.

Penubuhan The Technical Working Group on Getting Electricity (TWGGE) berhasrat menerajui inisiatif untuk meningkatkan kualiti dan kestabilan bekalan kuasa negara.

TNB memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan kuasa terus stabil dan peka terhadap isu-isu berkaitan yang timbul.

Ditubuhkan sebagai kerjasama sektor awam-swasta, TWGGE dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Abdul Razib Dawood dan dipengerusikan bersama oleh juara Nexus Produktiviti Elektrik dan Elektronik, Datuk Seri Wong Siew Hai, yang merupakan ahli Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah).

TNB turut bersama TWGGE, dengan syarikat gergasi seperti Intel, yang disokong oleh MPC.

Pada Julai lalu, Lee mendedahkan Intel menjadi wakil TWGGE dalam misi ke Amerika Syarikat (AS).

Rombongan itu membuat kunjungan untuk mengkaji amalan terbaik dalam peningkatan kualiti tenaga di kilang pembuatan Intel Phoenix (Arizona) dan Portland (Oregon).

Malah, mereka juga mengunjungi projek Arizona Salt River dan syarikat utiliti Port General Electric.

Lee berkata mempunyai grid kuasa paling stabil di dunia adalah salah satu kualiti terpenting untuk menarik fasiliti pembuatan berteknologi tinggi.

Menurut Lee, Intel mahu membantu MPC agar Malaysia dapat menilai standard dan prestasi penjanaan kuasa di AS yang mana kolaborasi Intel selama bertahun-tahun dengan syarikat utiliti telah berjaya dan menetapkan standard operasi Intel di peringkat global.

"Menerusi inisiatif perintis TNB-Intel, kami melihat peningkatan utama dalam rangkaian kuasa dan infrastruktur pengedaran.

"Ini termasuk pemasangan alat penangkap kilat yang lebih banyak, pemulihan aset pencawang dan kawalan pencerobohan untuk meningkatkan kualiti kuasa dan memberi manfaat kepada semua kilang E&E di wilayah utara," ujarnya.

Beberapa syarikat lain turut menjadi rakan utama dalam inisiatif ini yang mana MPC bertindak sebagai sekretariat, Suruhanjaya Tenaga sebagai pengawalselia dan TNB sebagai penyedia utiliti, kata Lee.

Dari kiri, Wan Nazmy, Siew Hai dan Abdul Razib berbincang mengenai isu kualiti kuasa dan peranan TWGGE dalam menambah baik persekitaran perniagaan industri berkaitan di negara ini.

Menekankan kepentingan kualiti bekalan elektrik yang tinggi, beliau berkata kilang E&E juga harus memastikan bahawa peralatan pembuatannya dibina dengan kemampuan menahan masalah kejatuhan kuasa kecil, sesuai dengan standard global yang disebut sebagai SEMI F47.

"Industri E&E mencatatkan pelaburan yang diluluskan tertinggi pada tahun lalu, RM25.7 bilion atau 31 peratus daripada keseluruhan pelaburan yang diluluskan.

"Untuk menyokong pertumbuhan negara, pengurusan kualiti kuasa sangat penting untuk memastikan gangguan elektrik adalah minimum," kata Lee lagi.

Sementara itu, Ketua (Pengurusan Aset) Bahagian Distribution Network TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood mengakui isu kualiti kuasa merupakan satu fenomena lazim yang mana ia turut berlaku dalam kalangan pembekal bekalan elektrik di negara-negara kelas pertama dunia.

Namun katanya, TNB sendiri sudah lama memandang serius isu itu yang mana pelbagai usaha dan inisiatif sudah diwujudkan seawal tahun 2000 lagi.

Ketua (Pengurusan Aset) Bahagian Distribution Network TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood.

"TNB dan juga Malaysia, dari segi keboleharapan memang setanding dengan utiliti-utilti antarabangsa dari negara kelas pertama. Tapi seperti mana mereka, kita juga menghadapi satu lagi fenomena yang dinamakan kualiti kuasa.

"Dalam banyak-banyak industri, kelompok industri semi conductor yang membuat kerja-kerja berteknologi tinggi memang memerlukan tahap kualiti kuasa terbaik, jadi mereka mungkin terganggu walaupun gangguan berlaku seketika.

"Dalam konteks TNB, kita faham situasi ini memang sentiasa ada dalam sistem kuasa, jadi kita sentiasa peka dan buat langkah untuk memastikan kita meminimakan masalah yang berlaku," ujarnya lagi.

Sebagai contoh, TNB melaksanakan aktiviti penambahbaikan prestasi kualiti kuasa di kawasan Utara Semenanjung melalui beberapa aktiviti iaitu memastikan keadaan sistem pembumian di semua menara penghantaran berada dalam keadaan baik.

TNB juga membelanjakan sekitar RM 110 juta bagi aktiviti penukaran kabel bawah tanah voltan 132kV dan juga RM 100 juta bagi aktiviti pemulihan aset pencawang voltan 132kV di Pulau Pinang dalam usaha untuk memastikan semua aset berada dalam keadaan yang terbaik.

“Bagi industri terlibat, masalah itu cukup memberi kesan kerana ia menghentikan proses pengeluaran.

“Itu sebenarnya yang menjadi cabaran yang mengakibatkan mereka meminta semua pihak termasuk TNB untuk melihat perkara ini dan bersama mereka dalam menanganinya.

“Selain itu, TNB turut melihat kepada sistem sendiri. Kita sedar tentang apa lagi yang perlu dibuat pada sistem.

“Malaysia ada cabaran tersendiri kerana kita negara tropika yang terdedah kepada kilat. Dengan usaha secara bersama, kita akan kebalkan sistem TNB dalam menangani masalah ini, ” ujarnya lagi.

Untuk maklumat lanjut mengenai pengurusan kualiti kuasa, lawati www.mpc.gov.my.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain