suria

Cemas! Fenomena air pasang besar melanda lebih awal... hakisan makin teruk, chalet di Nenasi hadapi risiko musnah - “Dah dua malam kami tak nyenyak tidur”

Penginapan konsep tree house ini semakin hampir dengan pantai akibat hakisan hampir 100 meter sejak enam tahun lalu.

MUSIM tengkujuh mula melanda negeri di pantai timur pada setiap akhir tahun dan kebiasaannya ia menyebabkan berlakunya air pasang besar.

Bagaimanapun, kehadiran air pasang besar secara mengejut ternyata menimbulkan situasi cemas bukan sahaja dalam kalangan penduduk di pesisir pantai, malahan turut merisaukan pengusaha chalet dan pusat peranginan di kawasan terbabit.

Kebiasaannya jadual cuaca termasuk kehadiran ribut dan ketinggian ombak menjadi rujukan untuk memudahkan operasi mereka, bagaimanapun hal sebaliknya dialami pengusaha Kekunang Tering Chalet di Pahang yang berkongsi kisah cemas yang dialami bersama kakitangannya.

Menceritakan kejadian pada malam Jumaat dan Sabtu, chalet yang terletak di perkampungan Tering, Tanjung Batu di Nenasi itu dilanda air pasang besar sehingga memberi impak kepada sebahagian fasiliti sedia ada.

ARTIKEL BERKAITAN: Wow tree house! Bagai terdampar di private island... Ketahui 10 sebab kenapa chalet di Nenasi ini wajib ada dalam list percutian anda

Bercakap kepada mStar, pemilik chalet iaitu Edde Firdaus mengakui terkejut apabila fenomena tersebut berlaku lebih awal dari yang dijangka.

"Dah dua malam kejadian ini berlarutan, memang kami tak nyenyak tidur. Kami jangka fenomena itu berlaku pada 12 sehingga 20 Disember, tapi ia berlaku lebih awal.

Antara fasiliti yang terjejas akibat kejadian itu.

"Sebab sekarang musim tengkujuh, memang kita dah jangka tapi apabila ia melanda lebih awal, agak kelam kabut jadinya. Kali ini, aras kenaikan air pasang tu semakin tinggi.

"Dah melepasi aras tanah di tepi pantai sampai melimpah ke kawasan chalet," ujarnya sewaktu dihubungi pada Ahad.

Mesra disapa Pak Yus, dia tidak berada di chalet berkenaan sewaktu kejadian pertama pada Jumaat malam, bagaimanapun melalui situasi cemas pada malam berikutnya.

Pemilik Kekunang Tering Chalet, Edde Firdaus yang lebih mesra disapa Pak Yus.

Setelah dimaklumkan oleh kakitangan bertugas, dia bergegas ke lokasi itu dan turut merasai sendiri fenomena berkenaan sekitar pukul 1 pagi pada hari berikutnya.

"Keadaan memang cemas, sebab kami jangka ia berlaku dua minggu lagi. Panik sebab barang-barang hanyut. Cuma nasib baik pelanggan menginap di chalet yang agak jauh ke dalam dan tidak terkesan akibat fenomena alam ini.

"Ada fasiliti kita yang turut tenggelam dengan pasir. Impak sekarang, kami punya garisan pantai dengan tebing semakin rapat.

Keindahan sekitar Kekunang Tering Chalet.

"Pada hari kejadian, ada kanu yang hanyut. Tapi nasib baik tidak sampai ditelan ombak dan kami berjaya dapatkan balik kanu tersebut," ujarnya sambil menambah jalan bertar yang baru disiapkan di kawasan chalet berkenaan turut alami kemusnahan.

Menurut Pak Yus, tiada siapa yang mampu melawan fenomena alam, namun dia berdoa agar tiada lagi kejadian buruk menimpa sehingga menjejaskan chalet itu.

Malah, dia berharap agar pihak berwajib dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku pada masa akan datang.

Bagi mereka yang belum berkunjung ke Kekunang Tering Chalet, ia terletak antara bandar Pekan dan Rompin dan turut menawarkan penginapan berkonsepkan tree house di tepi pantai.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Sebelum

Artikel Lain