suria

Isteri Syafiq Ahmad dipindahkan ke HKL - “Alhamdulillah, Nur Amalina semakin baik dan stabil”

Syafiq berada di samping isterinya, Nur Amalina ketika dirawat di Hospital Seberang Jaya.

"ALHAMDULILLAH, keadaan Nur Amalina semakin baik dan stabil," demikian kata Ahmad Ibrahim yang memaklumkan mengenai keadaan menantunya selepas menjalani pembedahan ekoran cedera parah dalam kemalangan pada awal pagi Ahad lalu.

Nur Amalina Nur Ain, 25, yang juga isteri penyerang bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Syafiq Ahmad dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan lanjut awal pagi Rabu.

Ahmad yang mengesahkan perkara berkenaan berkata, Nur Amalina telah dibawa dari Hospital Seberang Jaya (HSJ) ke HKL kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyerang JDT Syafiq Ahmad cedera akibat kemalangan, bayi usia 22 hari maut

Menurutnya, keputusan itu dibuat atas nasihat pakar perubatan di HSJ dan keadaan kesihatan Nur Amalina akan terus dipantau oleh pakar di HKL.

"Kami sekeluarga termasuk Muhammad Shafiq turut ke HKL hari ini dan akan bersama Nur Amalina sehingga dia sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital," katanya.

Isnin lalu, Nur Amalina selamat menjalani pembedahan di bahagian perut di HSJ selepas mengadu kesakitan di bahagian itu dan belakang badannya.

Dalam kejadian pukul 5.30 pagi Ahad lalu, kenderaan jenis Toyota Vellfire yang dipandu Muhammad Syafiq yang dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Pendang, Kedah terlibat dalam kemalangan, di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar Jawi.

Insiden itu menyebabkan bayinya yang berusia 22 hari, Muhammad Aisy Saqeef, ibu mentua Zainab Wahab, 45, dan pembantu rumah warga Indonesia Titik Sukamti, 30an maut di tempat kejadian.

Muhammad Syafiq dan seorang lagi anak perempuannya, Aaira Nur Saffiyya hanya mengalami cedera ringan namun isteri beliau, Nur Amalina Nur Ain, 25, dilaporkan cedera parah. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain