suria

Kes bapa tikam bayi: Suspek alami tekanan perasaan selepas bercerai

Suspek berusia 27 tahun itu dilaporkan mengalami tekanan perasaan selepas berpisah dengan bekas isterinya. Gambar hiasan

TEKANAN perasaan disyaki menjadi punca seorang bapa tergamak menikam bayinya yang berusia 18 bulan sehingga mangsa cedera parah.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman, motif kejadian itu dipercayai akibat suspek mengalami tekanan perasan selepas bercerai dengan bekas isterinya.

"Suspek yang juga pekerja kedai aksesori kenderaan dikatakan sudah bercerai dengan isterinya dan menyebabkan dia mengalami tekanan perasaan.

"Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine," katanya ketika ditemui di Subang Perdana, pada Ahad.

Terdahulu dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang Sabtu di Flat Puchong Permai, Subang Jaya, seorang bayi perempuan berusia 18 bulan parah selepas ditikam bapanya.

Mengulas lanjut, Abd Khalid berkata, mangsa dipindahkan dari Hospital Serdang ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pembedahan.

"Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil selepas selamat menjalani pembedahan di HKL, namun masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan," katanya lagi.

Beliau memaklumkan suspek kini direman selama lima hari bermula hari ini hingga 17 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain