PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menjadi antara individu terawal menerima suntikan vaksin di negara ini. Perkara itu didedahkan oleh Muhyiddin sendiri menerusi perutusan khas yang disiarkan pada Selasa pagi. ARTIKEL BERKAITAN: Jangkitan Covid-19 rekod 2,018 kes pada Isnin, Selangor catat jumlah pesakit positif paling tinggi Selepas dirinya, pemberian vaksin akan diteruskan pula kepada petugas barisan hadapan, diikuti kumpulan sasar di negara ini. "Saya akan menjadi antara individu yang pertama untuk menerima suntikan vaksin Covid-19. "Ini akan diikuti petugas barisan hadapan sebelum diberikan kepada kumpulan sasar iaitu kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang menghidap penyakit tidak berjangkit dan penyakit saluran pernafasan kronik," ujarnya. Perutusan itu turut memperincikan mengenai perkembangan terbaharu agihan vaksin untuk rakyat Malaysia tidak lama lagi. Tambah Muhyiddin lagi, sejuta dos vaksin pertama daripada Pfizer dijangka diperolehi seawal Februari 2021. Dalam pada itu, Muhyiddin mengumumkan kerajaan baru sahaja menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca bagi memperoleh 6.4 juta dos vaksin Covid-19. Ia melibatkan tambahan 10 peratus kepada bekalan vaksin yang akan diterima negara. Ia merupakan bekalan tambahan selepas perjanjian terdahulu dengan fasiliti COVAX dan Pfizer. Malah, kerajaan kini juga dalam fasa rundingan akhir dengan dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya untuk mendapatkan bekalan vaksin tambahan dan mencukupi untuk sekurang-kurangnya 80 peratus populasi negara. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!