suria

Rayuan ibadah haji secara online sudah dibuka, tak perlu lagi tulis surat - Dr Zulkifli

Bakal jemaah haji hanya perlu mengemukakan rayuan melalui aplikasi THiJARI yang dibuka bermula hari ini sehingga 13 Februari 2021. Foto: AP

BAKAL jemaah haji hanya perlu mengemukakan rayuan pelaksanaan ibadah tersebut bagi tahun hadapan (tahun 1442H/2021M) melalui aplikasi THiJARI yang dibuka bermula hari ini sehingga 13 Februari 2021.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, bakal haji tidak perlu lagi membuat rayuan haji secara tradisi dengan menulis surat rayuan atau hadir ke cawangan Lembaga Tabung Haji (TH).

ARTIKEL BERKAITAN: Ibadah haji dilaksanakan dalam skala kecil, jemaah lalui protokol kesihatan ketat

"Aplikasi ini memudahkan bakal haji untuk membuat rayuan secara dalam talian. Rayuan ini terbuka kepada mereka yang layak. Tak semua sesuai membuat rayuan. TH akan perincikan siapa yang layak bergantung kepada syarat dikemukakan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-37 di Menara TH, Kuala Lumpur pada Selasa.

Terdahulu Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan diadakan secara dalam talian selama tiga hari bermula Isnin melibatkan 500 Pengkursus Ibadah Haji Tanah Air (PEKTA) dan turut disertai pakar-pakar agama dalam menetapkan pendirian ibadat, keseragaman hukum hakam dan mencari penyelesaian terbaik berkait ibadat haji, umrah dan ziarah.

Sementara itu dalam perkembangan yang sama, beliau berkata bakal jemaah haji tahun hadapan diminta supaya bersedia berdepan caj tambahan baharu yang akan dikenakan kerajaan Arab Saudi dengan menambah simpanan deposit dalam akaun Tabung Haji.

Ia berikutan prosedur operasi standard (SOP) dan langkah keselamatan lebih ketat dikuatkuasakan kerajaan Arab Saudi ketika ini dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun Zulkifli berkata, kerajaan akan sentiasa mencari jalan terbaik bagi perkara tersebut selain memberi jaminan bahawa sebarang pengumuman berhubung kenaikan kos tersebut tidak akan dibuat secara mengejut.

"Sebaik-baiknya begitu (tambah simpanan). Tapi apa-apa keputusan kita akan kemukakan secara rasmi berkenaan kenaikan kos ini. Kita akan lihat dan bincang dalam Kabinet.

"Tapi bagi saya, insyaAllah kita tidak perlu gusar sangat kos-kos tersebut sebab kita akan cakap dalam satu satu bahasa yang tidak mengejut," katanya lagi. - SINAR HARIAN



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain