suria

Covid-19: Kesihatan jadi keutamaan, banyak program, inisiatif dilaksana demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat

Belanjawan tahun depan dicipta berdasarkan usaha-usaha kerajaan sejak Mac lalu dalam menangani pandemik demi kepentingan kesihatan awam.

MELIHAT kepada impak pandemik Covid-19 di negara ini, tidak mengejutkan apabila Belanjawan 2021 memberi fokus terhadap masa depan dengan pelaksanaan dasar dan program penjagaan kesihatan dalam memastikan kesejahteraan rakyat.

Belanjawan tahun depan dicipta berdasarkan usaha-usaha kerajaan sejak Mac lalu dalam menangani pandemik demi kepentingan kesihatan awam, dengan usaha-usaha dipergiat pada Ogos menerusi Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 dan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019).

Antara fokus utama adalah misi membasmi Covid-19 dengan menaikkan paras dana Covid-19 sebanyak RM20 bilion kepada RM65 bilion, terutamanya untuk membiayai pakej Kita Prihatin.

Selain itu, terdapat juga tambahan RM1 bilion yang diperuntukkan untuk keperluan perkhidmatan kesihatan awam berkaitan dengan Covid-19, termasuk untuk pembelian peralatan pelindungan diri (PPE), bahan uji dan barangan keperluan lain.

Peruntukan ini adalah tambahan kepada RM1.8 bilion yang telah dibelanjakan untuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan keperluan perkhidmatan kesihatan awam.

Untuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Sara Hidup (BSH), sejumlah RM21 bilion telah dibelanjakan pada tahun 2020, dengan baki RM2.2 bilion yang akan disalurkan pada Januari 2021 untuk BPN2.0.

Pemberian ini akan digantikan dengan Bantuan Prihatin Rakyat, dengan kadar bantuan dan kategori pendapatan yang dipertingkatkan melalui peruntukan berjumlah RM6.5 bilion.

Sokongan terhadap semua lapisan masyarakat

Menuju masa depan dengan kesihatan rakyat yang lebih terjamin, lebih dari RM3 bilion dijangka digunakan dalam program Akses Vaksin Global Covid-19 untuk bekalan vaksin kepada rakyat negara ini, sementara RM90 juta diperuntukkan untuk satu program vaksin pneumokokal kanak-kanak dan RM6 juta untuk perolehan ubat biologi untuk pelbagai penyakit reumatologi, seperti rheumatoid arthritis.

Tidak ketinggalan, sejumlah RM100 juta diasingkan dari hasil Sukuk Prihatin untuk penyelidikan berkaitan dengan penyakit berjangkit yang meliputi pengembangan vaksin, diagnostik dan penyelidikan rawatan.

Satu elemen penting dalam Belanjawan, dengan mengambil kira kesan PKP terhadap kesihatan mental dan keganasan rumah tangga adalah dengan memperkukuh program kesihatan mental, keganasan dan pencegahan kecederaan serta penyalahgunaan melalui peruntukan RM24 juta dan RM21 juta untuk penubuhan Pusat Sokongan Sosial Setempat dengan kerjasama NGO untuk memberikan perlindungan sosial dan sokongan moral kepada wanita yang menghadapi masalah rumah tangga, perceraian dan penderaan.

Mengenai kebajikan golongan rentan, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata,"Berdasarkan Kajian Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Pendapatan Garis Kemiskinan Nasional (PGK) meningkat kepada RM2,208 sebulan untuk setiap isi rumah. Ini bermakna, lebih daripada 400,000 isi rumah berpendapatan kurang daripada PGK kini tergolong dalam kategori miskin.

Disebabkan itu, kerajaan meningkatkan bantuan melalui peruntukan RM2.2 bilion untuk kebajikan golongan yang rentan, termasuk kenaikan kadar bantuan kewangan bulanan bagi orang kelainan upaya (OKU) yang tidak dapat bekerja, warga emas, penjaga OKU yang terlantar sakit dan pesakit kronik serta elaun insentif untuk pekerja OKU dan bantuan kewangan untuk kanak-kanak.

Belanjawan kali ini juga bertujuan meningkatkan sistem sokongan untuk petugas barisan hadapan.

Ia dijangka memberi manfaat kepada lebih 400,000 penerima.

Dalam pada itu, terdapat juga peningkatan had pelepasan cukai bagi pembayar cukai individu yang mempunyai pasangan OKU, selain Program Perkhidmatan Bantuan Rumah untuk kesejahteraan warga emas dan OKU.

Tak dilupkan juga, kerajaan fokus dalam mengutamakan kesejahteraan masyarakat Orang Asli dengan peruntukan RM158 juta untuk program bantuan sosial dan Program Pembangunan Bersepadu, di samping pembinaan dan penambahbaikan 14 tadika baharu di Pos Slim Sungai Kinta, Perak dan Pos Sungai Kelai Jempol, Negeri Sembilan.

Sikap proaktif terhadap kesihatan

Dalam usaha menggalakkan rakyat Malaysia menjadi lebih proaktif dalam penjagaan kesihatan mereka, kerajaan juga telah mengumumkan beberapa pelepasan cukai.

Ini termasuklah pelepasan cukai bagi rawatan perubatan atau perbelanjaan vaksinasi sebagai sebahagian daripada langkah pencegahan untuk menampung perbelanjaan vaksinasi seperti pneumokokus, influenza dan Covid-19; perbelanjaan perubatan untuk diri, pasangan dan anak untuk penyakit serius; pemeriksaan dan perbelanjaan perubatan penuh untuk rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa.

Selain itu, sebanyak RM10 juta diberikan dalam pemeriksaan kanser servik dan insentif subsidi mamogram kepada wanita yang berisiko tinggi mendapat barah payudara serta peruntukan RM25 juta untuk program rawatan Peritoneal Dialisis dari rumah.

Menerusi Belanjawan 2021 juga, tuntutan mySalam yang berkaitan dengan kemasukan ke hospital dan penyakit kritikal telah diperluas untuk perbelanjaan alat perubatan seperti stent jantung atau prostesis, sementara perlindungan sosial untuk kumpulan B40 akan diperluas melalui Program Baucar Perlindungan Tenang.

Subsidi, bantuan dan insentif lain termasuklah peruntukan RM28 juta untuk membantu masyarakat dalam bentuk pengangkutan dan kesejahteraan serta subsidi untuk mengawal kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Mengiktiraf sumbangan petugas barisan hadapan

Bagi petugas barisan hadapan, Tengku Zafrul mengumumkan Elaun Khas sebanyak RM600 sebulan yang telah dilaksanakan sejak Mac 2020 dan akan diteruskan sehingga wabak tersebut berjaya ditangani bagi menghargai sumbangan mereka.

Malah, pembayaran sekali sebanyak RM500 turut dilaksanakan yang mana ia dijangka memberi manfaat kepada 100,000 kakitangan perubatan.

Malah, Belanjawan kali ini juga bertujuan meningkatkan sistem sokongan untuk barisan depan dan wanita yang bekerja dalam perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dalam meringankan beban mereka.

RM30 juta telah diperuntukkan untuk penubuhan pusat jagaan kanak-kanak atau Taska di premis kerajaan, terutama di hospital, serta pemberian dana yang setara dengan RM20 juta untuk majikan sektor swasta bagi menyediakan pusat jagaan anak untuk pekerja mereka.

** Artikel ini merupakan siri keempat dalam liputan khas tujuh bahagian mengenai Belanjawan 2021.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain