suria

Varian baharu Covid-19 lebih berbahaya dikesan di Singapura, Ismail Sabri minta rakyat jangan leka SOP sepanjang musim cuti

Lapangan Terbang Changi, Singapura.

MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak leka dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika bercuti sempena perayaan Krismas esok, diikuti cuti tahun baharu 2021 minggu depan.

Peringatan tersebut disuarakan beliau kerana bimbang orang ramai mengambil remeh soal pematuhan SOP selepas kelonggaran merentas daerah dan negeri diberikan beberapa minggu lalu.

Tambahnya, orang ramai perlu lebih menitikberatkan kesihatan dan keselamatan diri serta keluarga lebih-lebih lagi selepas dunia digemparkan dengan penemuan varian baharu virus Covid-19 di United Kingdom pada minggu lalu.

"Terbaharu, varian tersebut dikesan di negara jiran kita, Singapura yang membabitkan remaja perempuan berusia 17 tahun. Ini menunjukkan bahawa virus Covid-19 bukan sahaja wujud dalam komuniti malah terus aktif dan berkembang membentuk varian yang lebih berbahaya.

"Sempena sambutan Hari Krismas dan cuti tahun baru, ramai yang cuti panjang untuk bersama keluarga. Justeru saya ingin mengingatkan kepada semua agar kita semau titikberatkan kesihatan dan keselamatan diri dan keluarga,

"Kitalah yang bertanggungjawab dan punyai amanah besar untuk mengekang penularan Covid-19 di mana saja kita berada," katanya dalam sidang media pada petang Khamis.

Pada Rabu, Singapura melaporkan satu Covid-19 dari strain virus UK B117 membabitkan seorang remaja perempuan berumur 17 tahun yang menuntut di United Kingdom sejak Ogos 2020, kata Kementerian Kesihatan Singapura (MOH).

Menurut MOH, sejumlah 31 kes import dari Eropah yang tiba di Singapura antara 17 November dan 17 Disember 2020 disahkan mempunyai jangkitan Covid-19 pada Disember 2020.

Kenyataan itu menyebut 12 daripada mereka tidak dijangkiti strain B117, manakala seorang lagi didapati dijangkiti strain itu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain