EMPAT penjenayah ditembak mati selepas polis melepaskan beberapa das tembakan dalam kejadian kejar-mengejar di Sungai Buloh, sebentar tadi. Memetik laporan Astro Awani, polis ketika ini berada di tempat kejadian dengan pasukan forensik sedang melakukan siasatan terhadap mayat suspek. Portal itu juga melaporkan, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dijangka mengadakan sidang media selepas ini. Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Datuk Fadzil Ahmat menerusi satu kenyataan berkata, keempat-empat suspek yang menaiki kereta jenis Perodua Axia melarikan diri selepas dipercayai melakukan jenayah samun. Dalam cubaan melarikan diri itu, kenderaan berkenaan didapati melanggar dan menggilis seorang penunggang motosikal yang bekerja sebagai penghantar makanan. "Empat penjenayah ditumpaskan di Sungai Buloh, tengah hari tadi selepas polis mengejar sebuah kereta Perodua Axia dinaiki suspek yang melakukan samun di sebuah rumah. "Pasukan serbuan terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke atas kereta dinaiki suspek demi mempertahankan pasukan dan orang awam," katanya dalam kenyataan tersebut, pada Jumaat. Fadzil berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kereta berkenaan mendapati empat lelaki di dalam kenderaan terbabit dalam keadaan tidak sedarkan diri. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!