suria

Bahaya pengangkutan bahan kimia di jalan raya, sistem e-Roads mampu jadi ‘penyelamat’

Pelbagai jenis kenderaan melalui jalan utama dan lebuh raya di negara ini. Foto SAM THAM/The Star

TAHUKAH anda mengikut statistik Kementerian Pengangkutan, setiap tahun lebih setengah juta kemalangan jalan raya dicatatkan di negara ini.

Dalam tempoh yang sama, jumlah kematian disebabkan kemalangan jalan raya dianggarkan di antara 6,000 hingga 7,000 orang.

Bagaimanapun, selain kemalangan melibatkan kenderaan biasa, timbul juga kebimbangan terhadap risiko kemalangan apabila ia membabitkan kenderaan yang membawa bahan berbahaya.

Kebimbangan itu menjadi perhatian Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menerusi Nexus Produktiviti Kimia (CPN), yang melihat kaedah untuk memastikan keselamatan operasi pengangkutan bagi bahan kimia (termasuk semua kargo bahan berbahaya), dalam industri khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).



CPN menggunakan kepakaran pemain industri melalui Chemical Industries Council of Malaysia (CICM), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan untuk mempromosikan kepentingan industri kimia di Malaysia.

MPC telah mengenalpasti satu inisiatif yang dipelopori oleh pemain industri kimia dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti dan prestasi industri khususnya dalam pengangkutan bahan kimia. Inisiatif ini berperanan untuk mengurus risiko kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan yang membawa bahan kimia.

Ketua Pegawai Eksekutif e-Response Alert Sdn Bhd, Datuk Dr Mohamed Noor Sany berkata, mengangkut bahan kimia berbahaya di jalan raya mampu memberi impak yang amat dahsyat kepada kehidupan masyarakat dan alam sekitar sekiranya berlaku sebarang kemalangan yang boleh mengakibatkan pertumpahan bahan tersebut.

Antara bahan berbahaya yang dibawa oleh pihak industri kimia di jalan raya termasuklah bahan letupan, bahan beracun, radioaktif, toksik, mudah terbakar dan mudah menghakis.

"Kemalangan jalan raya sudah cukup memberi kesan buruk. Bayangkan betapa buruk kesannya sekiranya sebuah lori membawa kargo berbahaya hilang kawalan di lebuh raya.

"Jika sedikit pun asid tertumpah di jalan, ia sudah boleh membunuh sesiapa sahaja yang berada dalam radius terdekat. Inikan pula muatan satu lori.

"Di Malaysia, kebiasaannya ratusan pengguna jalan raya mahu melihat apakah yang terjadi setiap kali berlaku kemalangan. Keadaan ini boleh mengakibatkan kemalangan maut," katanya dalam satu wawancara khas, baru-baru ini.

Antara bahan berbahaya yang dibawa oleh pihak industri kimia di jalan raya seperti bahan letupan dan mudah terbakar. -gambar hiasan

Sebagai langkah pencegahan, Dr Sany berkata, sistem e-Roads diperkenalkan iaitu sistem pangkalan data yang dibangunkan untuk menguruskan operasi pengangkutan jalan, dengan merekodkan semua pemandu dan kenderaan yang mengangkut bahan kimia.

"Untuk menguruskannya dengan berkesan, kita memerlukan maklumat seragam mengenai pemandu dan kenderaan yang terlibat. Tanpa pangkalan data, anda tidak tahu siapa pemandu dan kenderaan mana yang dipandunya. Pangkalan data adalah amat penting untuk mengurus dan mengawalnya.

"Walaupun terdapat peraturan dan undang-undang seperti pemandu perlu dilatih, penyediaan kenderaan dan ketetapan laluan penghantaran namun terdapat situasi apabila pemandu menerima tugasan untuk pihak ketiga yang boleh menyukarkan kerja-kerja pengurusan dan pemantauan pemandu dan kenderaan.

"Sistem e-Roads ini mampu mengatasi kelemahan ini melalui pangkalan data yang menyeluruh dan sistem pengurusan yang efisien dan berkesan," katanya.

Sistem e-Roads

Menurut beliau, sistem e-Roads terdiri daripada beberapa komponen antaranya pasport keselamatan pemandu elektronik (e-DSP) dan pasport keselamatan kenderaan elektronik (e-VSP) dan pas kawalan pintu (gate pass control).

e-DSP merupakan sistem yang mengurus dan memantau data pemandu di mana pelanggan perlu mendaftar butiran dokumen kritikal pemandu seperti kad pengenalan, lesen memandu, lesen kenderaan perdagangan (GDL) serta rekod perubatan dan latihan mereka.

Bagi e-VSP, ia adalah sistem yang mengurus dan memantau data kenderaan di mana pelanggan perlu mendaftar butiran dokumen kritikal kenderaan seperti pemeriksaan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), insurans, cukai jalan dan permit.

"Semasa memulakan proses ini, kita dapati sejumlah pemandu memiliki lesen tamat tempoh, dan mereka tidak memperbaharuinya. Jika anda tak kumpul data ini, anda tak tahu.

"Bila anda kumpul data-data ini, anda akan dapat melihat segala ketidakpatuhan dengan jelas (jika ada) dan ini akan memudahkan pengurusan operasi.

"Projek perintis yang telah dijalankan di kalangan syarikat-syarikat pengangkutan di dalam industri kimia mendapati bahawa ianya adalah satu sistem yang bagus dan berkesan dalam pengurusan pemandu dan kenderaan.

"Menerusi sistem tersebut, maklumat pemandu dan kenderaan akan kekal di dalam sistem dan akan dikemaskini dari semasa ke semasa. Ia juga akan menjejak pergerakan pemandu dari satu syarikat ke syarikat yang lain," katanya sambil menambah bahawa semua data sedia dan mudah diakses di mana sahaja, menerusi portal berasaskan web yang dilindungi dengan kata laluan.

Sistem e-Roads mengutamakan aspek keselamatan di jalan raya.

Sistem e-Roads mengaplikasikan mekanisme kawalan proaktif ‘lampu isyarat’. Apabila dokumen kritikal dan parameter yang telah ditentukan (seperti rekod perubatan, rekod latihan wajib dan sebagainya) bakal tamat tempoh, ianya akan menunjukkan amaran amber (kekuningan). Sekiranya amaran ini diabaikan sehingga tarikh luput, amaran merah akan kelihatan di mana pemandu atau kenderaan tersebut tidak dibenarkan mengangkut bahan kimia.

"Terdapat protokol di mana pengawal keselamatan akan mengimbas pasport (e-DSP) pemandu dan melihat sama ada lampu hijau atau merah yang menyala. Jika merah, tak boleh masuk (kawasan kilang/industri), pemandu tersebut perlu berurusan dengan majikannya, kerana sesuatu dokumen yang kritikal atau tidak kena yang perlu disemak semula dan diperbetulkan," katanya.

Data e-DSP dan e-VSP boleh dibaca menerusi imbasan Kod QR untuk pengenalan diri dan pengesahan pemandu serta kenderaan di pintu masuk, untuk tujuan rekod dan keselamatan.

Malahan katanya, sistem tersebut juga boleh digunakan di kawasan industri pelanggan untuk menetapkan had parameter yang khusus berdasarkan keperluan.

Contoh penggunaan e-VSP pada kenderaan yang membawa bahan kimia.

Tingkah laku pemanduan

Sistem e-Roads mampu diintegrasi dengan teknologi sistem pengesanan global (GPS) bagi memantau tingkah laku dan prestasi pemanduan setiap pemandu, menurut Dr Sany. Tambah beliau, sistem tersebut turut membolehkan pelanggan mengenal pasti kedudukan risiko pemandu secara efektif bagi mengelakkan tingkah laku pemanduan berbahaya yang boleh mempengaruhi keselamatan orang ramai.

Pemeriksaan e-DSP di pondok pengawal keselamatan.

Antara ciri tambahan dalam sistem e-Roads adalah 'e-Check Mobile Phone Application' yang dibangunkan untuk membantu mengesahkan status pemandu dan kenderaan dari mana-mana lokasi dengan mudah sebelum menguruskan operasi pelanggan.

Dr Sany berkata, sistem e-Roads mempunyai keupayaan untuk melakukan pemeriksaan dan pemantauan serta melancarkan produktiviti untuk industri.

Sistem ini boleh dimantapkan lagi dengan perkongsian data dengan agensi-agensi kerajaan seperti Puspakom, JPJ dan PDRM sebagai contoh.

"Dengan kerjasama semua pihak, sistem ini dapat menentukan bahawa hanya pemandu dan kenderaan yang berkelayakan sahaja dapat berkhidmat dalam industri kimia dan memastikan kepatuhan menyeluruh," ujar beliau.

Dr Sany merumuskan bahawa sistem e-Roads ini, dengan bantuan dan kerjasama agensi kerajaan berkaitan, dapat membantu industri bahan kimia untuk mengurus dan memastikan kelestarian proses pengangkutan bahan kimia dengan cara yang selamat.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain