suria

8 bulan tinggal dalam kereta uzur, derita 5 beranak berakhir selepas dikunjungi Ustaz Ebit

Ustaz Ebit bergegas dari Johor Bahru ke Pulau Pinang untuk menyalurkan bantuan kepada lima beranak malang tersebut. Foto: FB Ustaz Ebit

LAPAN bulan menjadikan kereta sebagai tempat berteduh, keperitan hidup seorang pengawal keselamatan bersama keluarganya akhirnya mendapat perhatian insan prihatin.

Sering menjadi insan pertama yang tampil ke hadapan, insan prihatin berkenaan yang juga pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew tanpa berlengah segera menemui keluarga ini sebaik sahaja mengetahui kisah sedih mereka.

Ustaz Ebit menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat berkata, dia berasa amat sedih selepas membaca kisah pasangan S Ganesh, 34, dan S Parameswary, 32, bersama tiga anak mereka yang tinggal di dalam kereta selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran, awal April lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: 7 sekeluarga lafaz syahadah depan Ustaz Ebit selepas selalu tengok video di FB, anak-anak mahu jadi jutawan! - “Semoga kaya raya dunia akhirat”

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas kecoh beli lori tangki air di Selangor, Ebit Lew upgrade misi bantuan buat frontliners di Sabah... siap sewa pesawat! - “Sebak dada, berkaca bola mata ku bila baca post ini”

Menurut Ustaz Ebit, dia bergegas dari Johor Bahru ke Pulau Pinang untuk menyalurkan bantuan kepada lima beranak malang tersebut.

"Cuti umum Krismas dari Johor Bahru terus saya ke Pulau Pinang. Menangis sebak semalam masa di Johor Bahru terbaca pasal Ganesh dan isteri, Parameswari serta tiga anak kecil yang tidur lapan bulan di dalam kereta.

"Sedihnya rasa. Saya tidur lena makan sedap, ada orang sampai tinggal dekat bonet kereta. Berpantang baru lepas bersalin hanya dalam kereta," katanya.

Dalam hantaran itu juga, Ebit memaklumkan dia menghulurkan bantuan dengan mencari sebuah kediaman yang selesa buat pasangan itu dan anak kecil mereka yang berusia antara enam tahun hingga lapan bulan.

"Saya sewakan rumah cantik selesa ada tiga bilik. Saya akan bayar sewa rumah untuk sebulan sementara mereka dapat rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Dah dua kali mohon semenjak rumah terbakar.

"Tapi jika mereka terus ingin tinggal di situ pun saya akan terus bayarkan dengan gembira. Saya hadiahkan peti ais, mesin basuh, televisyen, rice cooker, dapur, kipas, satu katil saiz Queen, dua katil single, barang dapur dan duit belanja. Sayu masa nak belikan barang untuk mereka.

"Baik sangat pasangan ini, tidak berhenti Ganesh dan isteri ucapkan terima kasih dan mereka menangis terharu. Kata mereka, kenapa banyak sangat dan mereka suka sangat tengok rumah, saya gembira dapat tengok senyuman anak-anak comel," katanya.

Terdahulu, keluarga ini menjadi perhatian selepas mendapat liputan media yang melaporkan kehidupan mereka yang terpaksa tinggal di dalam kereta Proton Iswara uzur selepas rumah mereka di Lebuh Carnarvon musnah dalam kebakaran pada awal April lalu.

Mereka terpaksa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain di sekitar Georgetown untuk berhenti dan berteduh sementara dan menggunakan tandas-tandas awam untuk membersihkan diri.

Malah, Parameswary yang bersalin lapan bulan lalu terpaksa menjalani kehidupan berpantang dengan anak ketiganya di dalam kereta tersebut kerana tiada tempat tinggal. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain