suria

Kejam! 9 anjing liar mati bergelimpangan akibat diracun

Bangkai anjing yang ditemui dipercayai akibat diracun. Foto: Sinar Harian

TIDAK berperikemanusiaan. Itulah yang dapat digambarkan dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab apabila tergamak meracun anjing liar sehingga haiwan berkenaan mati bergelimpangan.

Sebanyak sembilan ekor anjing liar ditemui mati berhampiran kawasan kilang di Puncak Jelapang, Ipoh sejak Khamis lalu.

Kejadian itu disedari seorang wanita berusia 40 tahun yang tinggal berhampiran kawasan berkenaan selepas menemui dua bangkai anjing di hadapan rumahnya kira-kira pukul 10 malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Racun anjing: "Orang ramai jangan viralkan, siasatan sedang berjalan" - PDRM

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah, pada keesokannya, wanita terbabit menemui tujuh lagi bangkai anjing di kawasan kilang berhampiran.

Ujarnya, sebelum kejadian wanita itu mendakwa ada terlihat lima lelaki tidak dikenali berada di lorong berhampiran rumahnya tanpa dikenal pasti tujuannya.

"Wanita itu kemudiannya tampil membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri.

"Siasatan awal dijalankan tidak menolak kemungkinan semua haiwan terbabit mati akibat diracun.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan membunuh atau mencacatkan haiwan," katanya.

Sementara itu, Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, mengecam individu yang tergamak melakukan perbuatan kejam berkenaan.

Katanya, tindakan meracun mati haiwan berkenaan tidak akan menyelesaikan masalah kejiranan malah menyalahi undang-undang.

"SAFM mengutuk tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan sekumpulan individu ini dan kita akan berusaha menegakkan keadilan buat anjing-anjing ini," katanya yang turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu agar tampil membantu siasatan. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

anjing liar, mati diracun

Artikel Lain