INSIDEN yang menimpa Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pada Ahad menghangatkan media sosial, dengan rata-rata netizen mempersoalkan tindakan jabatan kerajaan dalam memberi maklum balas pantas bersabit aduan kerosakan jalan. Terdahulu, Khairy memuat naik beberapa keping gambarnya yang tercedera di laman sosial Twitter dan Instagram, selepas basikalnya terlanggar lubang di sekitar Kampung Seri Cheeding di Banting, Selangor. Sebagai maklum balas kepada ciapan Khairy, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Langat segera membuat permohonan maaf kepada Ahli Parlimen Rembau itu. "JKR Kuala Langat memohon maaf ke atas kejadian yang menimpa YB Menteri dan akan mengambil tindakan segera ke atas isu berkenaan dan mendoakan YB cepat sembuh," demikian ciapan tersebut. Susulan itu, ruangan komen di bawah ciapan berkenaan dibanjiri dengan luahan kemarahan netizen yang membangkitkan apakah 'layanan' sama akan turut diberikan sekiranya perkara itu dibangkitkan oleh rakyat. Antara komen netizen yang meluahkan rasa kecewa dengan pihak berkuasan tempatan itu. "Menteri boleh berbasikal di kawasan perumahan saya lain kali sehingga lubang jalan di sini dapat segera diperbaiki," kata Syahir LangGulung di Facebook. "Parut kenangan musim Covid-19 ni. Saya tak perlu pemohonan maaf dari @JKRMalaysia. Apa yang saya minta cuma tolong ambil tindakan dan pantau jalan raya rosak yang lain terutamanya laluan motosikal. Kasihanilah penunggang motorsikal seperti saya," tulis Hamirul Sarman. "Tudia bila tang menteri jatuh terseret sikit laju minta maaf, kami yang marhaen ni hari-hari ngadap pothole sampai dah jadi asam garam hangpa buat dang ja. Sekian luahan hati yang lama terbuku," komen Zubir Marsan. Malah, ada juga di antara netizen yang memuat naik gambar jalan rosak di kawasan perumahan masing-masing, mengharapkan tindakan segera daripada JKR. Tidak kurang juga, ada yang memuat naik gambar kecederaan yang dialami masing-masing gara-gara kemalangan yang berpunca daripada jalan rosak.