suria

Ramai tak sedar, kediaman sendiri punca pencemaran air! Usah bertangguh, ayuh kosongkan tangki septik secara berjadual

Kakitangan IWK sedang melakukan kerja-kerja pengosongan tangki septik indvidu di sebuah premis kediaman.

DIANGGARKAN terdapat kira-kira 1.35 juta tangki septik individu di seluruh negara ketika ini.

Sebahagian besar tangki-tangki septik individu ini mungkin telah berusia lebih 40 tahun dan tidak diberikan perhatian oleh pemilik-pemilik kediaman berkenaan.

Mungkin nampak remeh, tetapi sebenarnya setiap pemilik perlu mengetahui kepentingan penjagaan tangki septik di kediaman masing-masing.

Apa itu tangki septik individu dan kenapa ia memerlukan perhatian dan penjagaan?

Tangki septik individu adalah sebuah tangki mendapan di mana air sisa daripada aktiviti kita sekeluarga di rumah seperti air mandi, basuhan baju, tandas dan cucian pinggan mangkuk akan dialirkan ke dalam tangki tersebut.

Kebiasaannya kita akan dapat lihat empat penutup logam di atas tangki dan kedudukannya sama ada di hadapan, tepi ataupun di belakang rumah kita.

Sekiranya tiada empat penutup logam, bermakna rumah anda berkemungkinan besar menggunakan sistem pembetungan jenis bersambung terus ke loji rawatan kumbahan berpusat.

Kebanyakan daripada pemilik sistem pembetungan jenis tangki septik individu menganggap ia adalah sebuah sistem yang memerangkap air sisa dari rumah dan tak perlu risau tentang penjagaan atau kepentingan pengosongannya.

Malah, mereka juga tidak menyedari bahawa tangki septik individu mempunyai tahap keupayaan terhad dalam memberikan rawatan awal atau separa rawatan bagi kemasukan air sisa pembetungan dari rumah setiap hari.



Infografik menerangkan kepentingan pengosongan tangki septik secara berjadual.

Secara amnya, setiap tangki septik individu memerlukan penyelenggaraan iaitu dengan melakukan pengosongan enapcemar sekurang-kurangnya sekali setiap dua tahun atau mungkin lebih kerap lagi.

Sekiranya pemilik tidak pernah mengosongkan tangki septik untuk jangka masa melebihi lima atau 10 tahun, maka ia sudah pasti tidak dapat berfungsi dengan baik lagi.

Ini menyebabkan air sisa kumbahan daripada rumah yang mengalir masuk ke dalam tangki septik individu ini, hanya melepasi tangki tersebut tanpa sebarang rawatan yang seterusnya akan keluar memasuki longkang, sungai atau perairan.

Apabila ini berlaku, secara tidak langsung pemilik tangki septik berkenaan sebenarnya turut menjadi penyumbang kepada pencemaran sumber air.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd, Narendran Maniam, hanya kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan tangki septik individu di negara ini yang menjalani pengosongan secara berjadual.

"Kira-kira 90 peratus daripada jumlah keseluruhan tangki septik ini tidak melakukan pengosongan secara berjadual setiap tahun. Beban pencemaran yang dilepaskan oleh 1.2 juta tangki septik yang tidak melakukan kerja-kerja nyah enapcemar ini amatlah buruk kesannya kepada sungai-sungai kita," ujar Narendran.

Lebih memburukkan keadaan, air sisa kumbahan ini bercampur pula dengan air sisa pencemaran daripada sumber-sumber lain seperti industri, perladangan, ternakan, pertanian, komuniti setinggan, penerokaan haram dan sebagainya.

"Ini akan menjadikan sungai dan perairan sebagai terusan kumbahan terbuka (open sewers) dan pasti amat merisaukan apabila sungai yang terbabit adalah merupakan sumber tadahan untuk air minum, sekaligus turut memusnahkan segala hidupan di dalamnya," tambah Narendran lagi.



Pemilik dikehendaki menyelenggara tangki septik individu secara berjadual dan kegagalan melakukan boleh didenda di bawah Akta Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Seksyen 65).

Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Seksyen 65) secara jelas menyatakan penghuni atau pemilik tangki septik individu hendaklah menyelenggara dan menjaga sistem masing-masing, dan kegagalan melakukan penyelenggaraan atau nyah enapcemar boleh didenda.

Justeru, adalah penting bagi setiap pemilik atau pengguna tangki septik individu memainkan peranan masing-masing sebagai masyarakat yang bertanggungjawab khususnya dalam menjaga alam sekitar dan sumber air.

Usah bertangguh lagi, ayuh jalankan tanggungjawab masing-masing dengan membuat pengosongan tangki septik secara berjadual demi menjaga alam sekitar.

Hubungi IWK segera bagi mendapatkan perkhidmatan pengosongan tangki septik individu secara berjadual.

Untuk keterangan lanjut, layari iwk.com.my.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain