suria

Pintu rumah diketuk, lampu padam sendiri, barangan dicampak! 4 sekeluarga terkilan gangguan misteri dikaitkan dengan saka

Perawat yang membantu keluarga Nurul Izah menunjukkan kesan ketukan pada pintu rumah keluarga itu. Foto: Sinar Harian

PINTU rumah diketuk, lampu padam sendiri dan barangan dalam kediaman mereka tercampak.

Itulah beberapa gangguan misteri yang dialami empat beranak di Taman Temerloh Jaya, Temerloh, baru-baru ini, selama tiga hari.

Kisah keluarga itu turut tular di Facebook hingga menarik perhatian orang ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri pintu diketuk tengah malam... Lelaki ini dedah ia amalan ilmu hitam dan rumah di tapak kediaman jin

"Pada hari pertama kejadian kira-kira jam 12 tengah malam, saya sekeluarga menyangka pintu rumah berbunyi seperti ketukan disebabkan oleh kucing peliharaan kami.

"Namun saya dan keluarga mula merasa hairan pada hari kedua kejadian apabila terdengar ketukan pada pintu bahagian depan dan belakang rumah kira-kira jam 11.50 malam.

"Kemudian terdengar lagi ketukan di pintu rumah pada hari ketiga dan kali ini memang menakutkan kerana bunyi ketukannya kuat dan pintu bergegar hingga rosak. Waktu kejadian kira-kira jam 8.45 malam," kata Nurul Izah Ali, 18, sambil menambah, mereka sudah tinggal di rumah berkenaan selama kira-kira 10 tahun.

Bimbang ia berterusan, ibunya kemudian meminta bantuan daripada seorang perawat Islam dikenali sebagai Ustaz Azmi bagi membantu mereka berhubung gangguan misteri berkenaan.

Katanya, selepas perawat tersebut meninggalkan rumah mereka kira-kira jam 12 tengah malam, berlaku lagi ketukan pada pintu yang kuat dan lampu rumah mereka kemudian terpadam beberapa kali selain barangan dalam rumah turut tercampak sendiri.

Menurut Nurul Izah, dia dan keluarganya bagaimanapun terkilan dan kesal kerana terdapat pihak yang mengaitkan gangguan misteri itu dengan unsur saka.

"Ada komen mengarut dan menuduh kami membela saka. Bahkan hati kami sekeluarga sangat terluka memandangkan ayah saya baru 10 hari meninggal dunia akibat serangan strok," luah remaja itu lagi dengan kesal.

Dalam pada itu, gadis tersebut menambah, ramai perawat menawarkan khidmat mereka untuk membantunya sekeluarga.

"Ada yang datang ke rumah dan beritahu 'gangguan itu' masih ada di rumah saya tetapi saya dan keluarga ambil langkah berjaga-jaga sebab risau jika ada pihak yang cuba ambil kesempatan," ujarnya.

Namun ujarnya, buat masa ini keadaan semakin pulih dan tiada lagi gangguan di rumah tersebut yang turut didiami oleh ibunya serta dua adik lelakinya yang masing-masing berusia 12 dan empat tahun.

Sementara itu, perawat yang membantu Nurul Izah dan keluarganya menafikan gangguan dihadapi keluarga itu angkara sihir.

"Saya harap janganlah sebarkan perkara yang tidak pasti. Tolong jaga perasaan keluarga ini. Jangan timbulkan cerita yang bukan-bukan," katanya. - SINAR HARIAN

Artikel Lain