KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan berlakunya peningkatan kes Covid-19 berikutan langkah kerajaan mewajibkan semua pekerja asing menjalani ujian saringan Covid-19 bermula 1 Januari. Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menanggung kos ujian saringan pekerja asing membabitkan 800,000 orang meliputi Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Sabah. ARTIKEL BERKAITAN: Kes Covid-19 libatkan warga asing naik mendadak, pusat kuarantin Maeps diaktifkan semula - Ismail Sabri "Tumpuan akan diberikan kepada pekerja asing yang bekerja di kilang, projek pembangunan dan industri," katanya. Dr Adham yang juga Ketua Umno Bahagian Tenggara berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat bahagian yang diadakan di Dewan Sri Kembaran, Kota Tinggi, pada Sabtu. Ujarnya, sebelum ini seramai 70,000 pekerja asing dari Selangor dan Kuala Lumpur telah disaring dari Ogos hingga 31 Disember lepas. Tambah Dr Adham, pekerja yang diuji positif akan dikuarantin secepat mungkin untuk diberikan rawatan dan KKM akan mempercepatkan pengesanan kontak rapat. Dr Adham juga berkata kementerian sedang melakukan persediaan dan menjangka menambah sehingga 10,000 buah katil di pusat kuarantin dan rawatan sementara Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps). Baru-baru ini, Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan mewajibkan ujian saringan Covid-19 terhadap 1.7 juta pekerja asing di negara ini. Arahan itu bermula pada 1 Januari di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Pihak majikan yang didapati gagal mematuhi arahan ini akan dikenakan tindakan undang-undang dan penalti jika sabit kesalahan. - THE STAR Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!