TULAR satu klip video memaparkan tindakan seorang wanita yang selamba membuang bungkusan plastik di sebuah jambatan di Kelantan daripada kenderaannya. Video berdurasi 20 saat itu mula viral apabila dikongsi pelayar laman sosial Facebook dan mendapat pelbagai respon daripada orang ramai. Rata-rata netizen mengecam tindakan wanita berkenaan dan menyifatkan perbuatan tersebut sebagai 'tiada kesedaran sivik'. Netizen juga mengecam wanita itu tidak sepatutnya bertindak demikian dalam keadaan kenderaan yang bergerak. Tidak kurang juga yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai memalukan rakyat negeri Kelantan, merujuk kepada nombor pendaftaran kenderaan yang dinaikinya yang menggunakan plat 'D'. Netizen berpendapat tindakan seperti itulah yang menyebabkan berlakunya pencemaran sungai sekaligus dikaitkan dengan bencana banjir yang sering kali membawa bersama sampah sarap dan plastik. Kemarahan netizen kian memuncak apabila ada salah seorang daripada pelayar Facebook berkongsi alamat pemilik kenderaan tersebut termasuklah mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya pihak yang terlibat. - SINAR HARIAN