suria

Nenek saudara antara 6 ditahan kes dera budak OKU hingga mati

Polis menahan enam individu yang disyaki mendera seorang kanak-kanak perempuan kurang upaya (OKU) berusia 5 tahun yang meninggal dunia pada 30 Disember lalu. Gambar hiasan

TIDAK berperikemanusiaan.

Itulah perkataan yang tepat bagi menggambarkan perlakuan kejam enam individu yang disyaki mendera seorang kanak-kanak perempuan kurang upaya (OKU) berusia lima tahun yang meninggal dunia pada 30 Disember lalu.

Memetik laporan Sinar Harian, kesemua enam individu termasuk seorang wanita warga Indonesia berusia di antara 24 hingga 55 tahun ditahan pada Jumaat lalu bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner, Arifai Tarawe berkata, mangsa dijaga oleh nenek saudaranya selepas kedua ibu bapanya berpisah pada 2017.

"Mangsa ditemui tidak sedarkan diri di ruang tamu sebuah rumah di sini, mangsa kemudian dibawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Rawang pada Rabu.

Arifai berkata, siasatan awal mendapati mangsa tidak boleh berjalan dengan sempurna dan mengalami masalah untuk membuang air kecil dan besar.

Katanya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah usus dalaman mangsa pecah.

"Susulan daripada laporan itu, kita menahan enam individu tersebut termasuk nenek saudara mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain