suria

Wujud 5 kluster akibat rentas negeri, Dr Noor Hisham tertarik kaedah di Sarawak, Terengganu - “Tindakan lebih drastik perlu dijalankan”

Jelas Dr Noor Hisham, selain meningkatkan kawalan sempadan, mereka yang datang ke Sarawak juga akan diuji dan dikuarantin.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan wujud lima kluster berhubung aktiviti rentas negeri.

Menurut Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham, ia membabitkan tiga kluster di Pahang dan masing-masing satu kluster di Perak dan Kelantan.

Ujarnya, KKM turut melihat model yang diaplikasikan negeri Sarawak dalam berhadapan situasi itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Rekod harian tertinggi, Malaysia catat 2,593 kes Covid-19... 4 lagi kematian

"Setakat ini ada lima kluster akibat merentas negeri. Bagi gelombang ketiga sehingga 4 Januari 2021 pula, ada sembilan kluster akibat aktiviti sosial.

"Ia berkaitan perhimpunan. Bila ada perhimpunan, maka berlaku jangkitan Covid-19 jika tak patuh prosedur operasi standard (SOP).

"Sekarang kita lihat bagaimana nak melindungi negeri hijau contohnya. Model yang kita ada adalah negeri Sarawak," ujarnya menerusi sidang media pada Rabu.

Jelas Dr Noor Hisham, selain meningkatkan kawalan sempadan, mereka yang datang ke Sarawak juga akan diuji dan dikuarantin.

"Mereka yang datang ke negeri Sarawak pasti akan diuji dan dikuarantin untuk tempoh masa 10 hari sebelum mereka dibenarkan bergaul atau bercampur dengan komuniti.

"Mereka terpaksa lakukan sebab kebimbangan jangkitan di pedalaman. Ia akan menjadi sukar untuk dirawat.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak membuat ketetapan bahawa rakyat negeri Sarawak yang tiba dari luar negara diwajibkan menjalani kuarantin selama 10 hari di pusat kuarantin yang disediakan.

Bagi kemasukan ke Sarawak dari luar negara bagi rakyat Malaysia dan bukan warganegara pula, mereka wajib menjalani kuarantin selama 10 hari dan disaring dengan ujian rt-PCR di pintu masuk (point of entry).

Bagi individu dari Semenanjung, Sabah dan Labuan, mereka wajib menjalani kuarantin selama 10 hari di pusat kuarantin ditetapkan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memperincikan kaedah yang digunakan di Terengganu dalam menerima kunjungan penduduk negeri lain khususnya dari negeri zon merah,

"Juga kita lihat bagaimana untuk melindungi. Contohnya Terengganu, mereka telah sarankan sesiapa dari zon merah datang ke klinik untuk ujian Covid-19 percuma," katanya.

Tambahnya, kaedah diguna pakai Terengganu menyaksikan hampir 4,000 individu dari negeri zon merah diuji sehingga membawa kepada pengesanan 27 kes positif.

"Dari negeri zon merah, tindakan lebih drastik perlu dijalankan iaitu mungkin jalankan tindakan lebih bersasar.

"Kita akan perketat kawalan sempadan dan halang mereka yang merentas negeri dan juga daerah kalau kita lihat kepada trend-trend yang terkini," jelasnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain