INDUSTRI seni bina dan kejuruteraan adalah merupakan antara sektor yang terus memperlihatkan peningkatan dari segi produktiviti dalam menyumbang kepada transformasi ekonomi dan pembangunan negara. Justeru tidak hairanlah kedua-dua sektor ini penting buat negara dan perlu dipastikan terus kukuh serta mampu berdaya saing terutamanya dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19 yang tidak menentu ketika ini. ARTIKEL BERKAITAN: Ramai masih tak tahu... Productivity1010 solusi era digital, MPC atur strategi ajak komuniti niaga teroka peluang mega Di bawah Blueprint Produktiviti Malaysia (MPB), Nexus perkhidmatan profesional ini dikenal pasti sebagai salah satu daripada sembilan industri tumpuan yang disasarkan merangkumi seni bina, perakaunan, pengiklanan, kejuruteraan, undang-undang dan perunding pengurusan yang memerlukan keutamaan segera. Penubuhan Nexus Produktiviti Perkhidmatan Profesional (PSPN) yang diketuai oleh persatuan industri dan badan profesional bertindak sebagai ejen perubahan untuk mendorong peningkatan produktiviti subsektor ini selain menyumbang kepada pertumbuhan eksport yang lebih tinggi dan memperkukuhkan hubungan antara sektor. Inisiatif berpandukan produktiviti untuk pengembangan sektor perkhidmatan, termasuk perkhidmatan profesional, akan terus meningkatkan keyakinan para pelabur, dan menarik pelaburan yang lebih berkualiti serta berdaya saing di peringkat antarabangsa. Atas dasar itu juga, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) tampil menyediakan landasan lebih kukuh kepada kumpulan profesional ini untuk terus berdiri serta perancangan yang diharap dapat menghasilkan kitaran positif berterusan. Bagi merealisasikan matlamat itu, MPC menjalinkan kerjasama melalui perjanjian dalam bentuk Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Architect Center Sdn Bhd (ACSB) dan Pusat Latihan Institut Jurutera Malaysia (IEMTC) yang ditandatangani baru-baru ini. Tujuan utamanya adalah bagi menyumbang ke arah peningkatan dan pertumbuhan produktiviti bidang profesional dalam situasi tidak menentu akibat pandemik ketika ini. MPC dan Architect Centre Sdn. Bhd. (ACSB) Menandatangani memorandum (MoU) baru-baru ini. Menerusi MoU bersama ACSB, sebuah konsortium diwujudkan sebagai pusat sehenti dalam membuka ruang kepada semua kumpulan profesional terlibat untuk disatukan di bawah platform sama. Pengerusi ACSB, Datuk Ar. Ezumi Harzani Ismail, berkata pihaknya akan memainkan peranan dalam membantu mengembangkan model dan kerangka konsortium tersebut melalui pelbagai latihan, bimbingan serta permentoran dengan memfokuskan kepada latihan kemahiran untuk kumpulan profesional. Selain itu jelas Ezumi, perkhidmatan berkaitan dengan pembangunan kumpulan profesional turut diberi keutamaan dalam mempromosikan sektor tersebut. "Seramai 2,000 kumpulan profesional dan graduan dalam bidang berkaitan akan kita latih menerusi program ini dan diharap dalam tempoh lima tahun akan datang kita dapat mewujudkan 10 konsortium di bawah program sama. "Sasaran kita adalah untuk mewujudkan profesional yang berdaya saing di peringkat global dan kerjasama bersama MPC juga adalah bukti komitmen dan sokongan kami kepada kerajaan dalam meningkatkan kebolehan perkhidmatan profesional di Malaysia," jelasnya. Sementara itu, kolaborasi dan hubungan di antara pihak terlibat serta rangkaian sedia ada sangat penting dalam menguatkan hubungan dan persekitaran profesional yang sekali gus dapat meningkatkan kecekapan dari pelbagai sudut. Ketua Pengarah MPC, Dato Abdul Latif Bin Haji Abu Seman berkata, landasan yang lebih kukuh diwujudkan kepada golongan profesional menerusi MoU yang ditandatangani. Ini, jelas Ezumi termasuklah memaksimumkan penggunaan digital dengan lebih meluas serta membuka lebih banyak peluang untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran dalam kalangan profesional muda. Sementara itu, Pengerusi IEMTC, Ir. Ong Chin Loon pula berkata, IEMTC tidak asing lagi dalam latihan profesional sejak 1984 bagi memperkasakan bidang kejuruteraan termasuklah menerusi Program Pembangunan Profesional (PDP), Program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) serta pelbagai program lain dalam memenuhi keperluan kumpulan profesional itu. Menyedari tanggungjawab untuk mempersiapkan jurutera menghadapi persaingan global bukan sesuatu yang mudah, namun Ong menjelaskan Malaysia sebenarnya sudah mencipta pelbagai kejayaan di luar negara dan sejarah itu mampu diulang dengan perancangan dan latihan yang tepat. "Dalam jangka masa panjang, diharapkan momentum perkongsian kepakaran akan memberi hasil positif dalam membangunkan lebih banyak konsortium pada masa hadapan. "Diharap kita juga dapat mewujudkan ekosistem terbuka di mana semua pihak berkepentingan dapat bekerjasama untuk manfaat bersama sekali gus memberi impak positif kepada negara secara keseluruhan," katanya. Sementara itu, Firma Perunding Kejuruteraan (ECF) akan mengusulkan rangka kerja yang antara lain bertujuan untuk mengembangkan bakat tempatan dengan memanfaatkan pengetahuan oleh kumpulan profesional berpengalaman, membantu memastikan kelestarian syarikat termasuk meningkatkan pengetahuan baharu dalam dunia yang semakin berubah. MPC dan IEMTC Menandatangani memorandum (MoU) baru-baru ini. Ini bagi mendorong kumpulan profesional industri untuk mengadaptasi pembelajaran bagi mengekalkan potensi yang akhirnya meningkatkan kemampuan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang. Malah Belanjawan Malaysia 2021 baru-baru ini, turut memperlihatkan beberapa projek mega yang ingin dilaksanakan ECF melalui perkongsian kerjasama dengan pihak kerajaan. Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah MPC, Dato Abdul Latif Bin Haji Abu Seman berkata, landasan yang lebih kukuh diwujudkan kepada golongan profesional menerusi MoU ini diharap dapat menghasilkan kitaran positif berterusan kepada kedua-dua sektor tersebut. Menerusi Belanjawan Malaysia 2021 juga, pihaknya berharap dana untuk sektor profesional bagi mengembangkan kapasiti serta pembangunan dan penyelidikan (R&D) serta geran yang diperuntukkan dapat meningkatkan kumpulan profesional ini. "Melalui kolaborasi dengan ACSB dan IEMTC, perkongsian pihak kerajaan-swasta akan berkembang di mana pengamal profesional dapat berkongsi sumber seperti kepakaran terknikal dan kemahiran dalam meningkatkan tenaga kemahiran tempatan. "Ia sekali gus dapat menghasilkan modal insan berkemahiran tinggi dalam membantu negara melonjak ke arah aktiviti berprestasi tinggi dan berlandaskan pengetahuan. "IEMTC dan ACSB akan membantu PSPN dalam mengembangkan kerangka konsep dan model bersesuaian selain memberikan latihan dan bimbangan untuk mempromosikan pertumbuhan kumpulan profesional syarikat perkhidmatan atau pengembangan perniagaan melalui pelbagai model kolaboratif," ujarnya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!