suria

Covid-19: Wanita ‘terbang’ dari Johor dikenalpasti sebagai ‘super spreader’ selepas 37 kes positif dikesan di rumah panjang di Sibu

Sebanyak 37 kes positif Covid-19 dikesan di rumah panjang di Sibu selepas seorang wanita 'terbang' dari Johor untuk menghadiri pengebumian bapanya. Gambar hiasan

SEBANYAK 37 kes baharu positif Covid-19 dikesan di sebuah rumah panjang di Sibu, Sarawak selepas seorang wanita pulang dari Johor untuk menghadiri pengkebumian bapanya di Pasai Siong dan menjadi 'super spreader' dalam kalangan penghuni di penempatan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sibu Charles Siaw berkata, 37 individu itu didapati positif pada kira-kira pukul 10.30 Jumaat malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Paling tinggi! 16 korban Covid-19, Malaysia rekodkan 2,643 jangkitan baharu... 170 di ICU

"Mereka dikesan melalui hasil saringan ke atas kes seorang wanita yang kembali dari Johor (kes 1,175) pada 29 Disember 2020. Kes tersebut telah diumumkan oleh JPBNS pada 7 Januari 2021 melalui Kenyataan Media pada 7 Januari 2021," katanya.

Siaw berkata wanita itu kini dirawat di Hospital Sibu.

Menurutnya, wanita itu berlepas dari Johor Bahru melalui Kuala Lumpur dengan penerbangan Firefly FY1335 pada pukul 8 pagi. Dia kemudian mengambil penerbangan transit Malaysia Airlines MH2536 dari Kuala Lumpur ke Kuching pada pukul 1.35 petang pada hari yang sama.

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, dia telah menjalani ujian calitan (swab) pertama kali dan hasilnya negatif.

"Dia kemudian berlepas ke Sibu dengan penerbangan AirAsia AK6466 dari Kuching dan tiba pada pukul 8.50 malam. Dia diperintahkan untuk menjalani kuarantin di rumah panjangnya, Rumah Langi di Pasai Siong.

"Dia kemudian menghadiri pemakaman bapanya di sebuah perkuburan kira-kira 15km dari simpang Jalan Teku Pasai Siong,"katanya.

Tambahnya, wanita itu kemudian menjalani ujian calitan kedua pada 5 Januari di Klinik Kesihatan Jalan Lanang dan disahkan positif pada 6 Januari.

Siaw berkata, keesokannya Kementerian Kesihatan menyaring 74 penduduk Rumah Langi dan keputusan pada 8 Januari mendapati seramai 37 individu dikesan positif Covid-19.

Ujian saringan akan dilakukan di tujuh lagi rumah panjang lain di Pasai Siong pada Sabtu dan Ahad.

Ujarnya, polis telah membuat sekatan di simpang jalan masuk ke Rumah Langi, Pasai Siong, mulai jam 11.30 malam pada 8 Januari, dan kesemua penghuni lapan rumah panjang itu kini dikuarantin dan tidak dibenarkan keluar.

"Kemudahan makanan dan kesihatan akan diberikan kepada penduduk rumah panjang yang terjejas," katanya lagi.

Rumah panjang yang terlibat adalah Rumah Langi Ambau, Rumah Jelian Nayor, Rumah Ringgit Unchu, Rumah Pom Maja, Rumah Jeram Empin, Rumah Kely Chundau dan Rumah Nyambong Ajon.

Siaw juga menggesa sesiapa yang telah menghadiri upacara pengkebumian di Rumah Langi, Pasai Siong pada 29 Disember hingga 31 Disember untuk tampil membuat pemeriksaan dan saringan di Klinik Kesihatan Jalan Lanang atau Klinik Kesihatan Sibu Jaya. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain