suria

M Sugu mengaku bersalah miliki senjata berbahaya, dikenakan bon berkelakuan baik

M Sugu dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan jaminan RM8,000. Foto The Star

SUAMI kepada YouTuber masakan sensasi, M Sugu mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Isnin di atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit.

Hakim Norashima Khalid menjatuhkan hukuman terhadap suami kepada S Pavithra itu dengan mengenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan jaminan RM8,000 atas kesalahan memiliki senjata berbahaya, tahun lalu.

Peguam, Mohamad Hafiz Jalaludin yang mewakili bekas pekerja ladang berusia 29 tahun itu berterima kasih kepada mahkamah di atas keputusan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Kontroversi kes pukul, duo YouTuber Sugu Pavithra tidak perlu bimbingan kaunseling JKM

"Kami lega apabila mahkamah menjatuhkan hukuman tersebut kepada anak guam kami. Kami percaya isteri Sugu akan membayar bon tersebut," katanya ketika ditemui di luar kamar mahkamah.

Peguam itu menambah bahawa Sugu juga perlu membayar kos RM3,000 kepada pihak pendakwaan.

Pada Julai tahun lalu, Sugu didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, antara pukul 4 petang dan 6 petang.

Dalam prosiding sebelum itu, peguam Muhammad Shahrul Nizam Mohd Radi, yang juga mewakili Sugu, memohon mahkamah membenarkan perintah bon berkelakuan baik di bawah Seksyen 294 Kanun Prosedur Jenayah atas alasan bahawa insiden berlaku kerana salah faham.

Syahrul Nizam berkata anak guamnya tidak pernah terbabit dalam sebarang kes jenayah.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain