suria

Pentingnya pelarasan tarif... IWK pastikan pemuliharaan alam sekitar, kesihatan awam berterusan

Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd komited untuk melindungi alam sekitar dan menyediakan perkhidmatan pembetungan yang cekap kepada semua rakyat Malaysia.

DALAM usaha memerangi jenayah alam sekitar, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada awal Disember 2020 menggesa pihak berkuasa supaya terus berusaha dan bekerja dengan komited bagi melaksanakan misi tersebut.

Gesaan yang dibuat itu susulan kes-kes pencemaran air di Selangor.

Walaupun Malaysia bertuah kerana dilimpahi dengan hujan dan bekalan air yang mencukupi, namun negara turut berhadapan dengan masalah pembuangan sisa secara haram ke dalam sistem pembetungan sehingga menyebabkan gangguan bekalan air.

Biarpun berhadapan dengan isu-isu tersebut, syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd komited untuk melindungi alam sekitar dan menyediakan perkhidmatan pembetungan yang cekap kepada semua rakyat Malaysia.

Sama ada secara sedar atau tidak, pihak yang menyumbang kepada pencemaran itu telah merosakkan anugerah alam sekitar yang dinikmati masyarakat hari ini.

Namun, IWK terus berusaha melaksanakan mandatnya untuk mengendali dan menyelenggarakan sistem pembetungan awam dengan cekap.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh Merdeka Centre dalam kalangan pelanggan IWK, dilaporkan hampir 90 peratus pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan pembetungan dan sebahagian besar memahami betapa pentingnya perkhidmatan IWK untuk alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, pandangan itu mencerminkan tahap kesedaran terhadap peranan yang dimainkan oleh alam sekitar dalam kehidupan seharian.

Namun beliau memberitahu bahawa terdapat satu masalah yang masih berlarutan dan sekiranya tidak ditangani segera, manfaat-manfaat yang dinikmati masyarakat kini akan berkurangan.

"Dengan peningkatan kos sara hidup dan kadar inflasi serta caj pembetungan IWK yang tidak pernah dikaji semula sejak lebih dua dekad penubuhannya, menjadikan syarikat pembetungan nasional ini berada dalam kedudukan kewangan yang tidak mampan.

"Menjalankan tugas-tugas operasi terhadap lebih 8,000 aset pembetungan di seluruh negara adalah amat rumit terutama kebanyakan aset tersebut semakin uzur, dan ada yang menjangkau lebih 15 tahun," katanya.



IWK menjalankan operasi demi kepentingan pengguna.

Narendran berkata, selama ini, proses rawatan air kumbahan yang dilaksanakan di loji rawatan kumbahan (LRK) mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk memastikan efluen terawat dapat dilepaskan dengan selamat ke perairan.

"Itulah sebabnya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan buat pertama kali pada Mac tahun lalu dan hanya perkhidmatan penting yang dibenarkan beroperasi, alam sekitar telah menjalani proses penyembuhan, di mana loji-loji kami mengeluarkan jumlah efluen terawat yang sama, iaitu menghasilkan kualiti sungai lebih baik," ujar beliau.

Berikutan itu, tahap kepentingan dan piawaian efluen berkualiti tinggi yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi setiap LRK memberi cabaran besar kepada IWK.

Kos operasi semakin meningkat sejak bertahun-tahun, mencatatkan sebanyak RM18 sebulan untuk setiap isi rumah.

Pelanggan domestik membayar caj yang rendah antara RM2 hingga RM8 sebulan, yang merupakan salah satu tarif yang terendah di dunia.

Sekiranya kadar inflasi diterapkan dalam caj pembetungan, ia sepatutnya meningkat sehingga ke paras RM14.45 pada 2019.

Bagaimanapun, jurang perbelanjaan yang dinikmati itu ditanggung oleh IWK selama 26 tahun.

Pada masa sama, kerajaan memberikan subsidi sejumlah RM2.68 bilion sehingga akhir 2019, namun pastinya ia tidak dapat diteruskan sekiranya mahu mengambil langkah yang lebih mampan ke arah kelestarian alam sekitar.



Perkhidmatan IWK penting untuk alam sekitar.

Mengenai kepentingan pelarasan tarif, Narendran berkata, sekiranya masyarakat tidak menunjukkan sokongan atau timbang rasa kepada utiliti pembetungan seperti yang dilakukan untuk utiliti lain, mereka mungkin tidak dapat meneruskan aktiviti-aktiviti yang memerlukan air di rumah dengan selesa.

Selain itu, katanya, terdapat banyak premis lama di Malaysia yang menggunakan sistem tradisional seperti tangki septik, sama ada di rumah atau komuniti.

Beliau turut menjelaskan bahawa tanpa penyelenggaraan pengosongan tangki septik yang berjadual atau menyahenapcemar, tangki septik atau sistem primitif akan turut menyumbang kepada masalah alam sekitar dan penyakit bawaan air.

"Sebagai sebuah negara yang berkembang dengan pesat, kita tidak boleh membiarkan isu-isu asas persekitaran dan kesihatan membahayakan kedudukan kita.

"Oleh itu, sudah tiba masanya bagi semua pihak untuk mengkaji kemampanan kewangan IWK, bagi memastikan syarikat dapat menjalankan tanggungjawab bukan hanya terhadap operasinya, tetapi juga kepada masyarakat dan alam sekitar dengan kadar kecekapan yang lebih tinggi.

"Untuk itu, pelarasan tarif akan membantu mengurangkan banyak masalah kewangan dan membantu meningkatkan perkhidmatan pembetungan negara," kata Narendran.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain