DATUK Seri Anwar Ibrahim menjadi perhatian susulan pelaksanaan darurat di negara ini. Ketua pembangkang itu sudah menghantar surat kepada semua ahli Parlimen mengajak mereka mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam usaha merayu membatalkan pelaksanaan darurat di negara ini dan Parlimen boleh segera bersidang. Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bagaimanapun berkata, surat berkenaan perlu disesuaikan berdasarkan pertimbangan semua ahli Parlimen dan parti masing-masing. ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Agong perkenan isytihar darurat hingga 1 Ogos, minta rakyat bertenang ARTIKEL BERKAITAN: Tiada pilihan raya... ini info penting lain yang perlu anda tahu sepanjang tempoh darurat "Semoga warkah ini mendapat ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik pengisytiharan darurat, seterusnya menitahkan sidang Parlimen diadakan dalam kadar segera sebelum 31 Januari ini," katanya dalam kenyataan pada Khamis. Anwar berkata, Parlimen perlu bersidang segera untuk membahaskan isu darurat, Covid-19 dan kemelut ekonomi yang melanda negara. Pada Selasa, Al-Sultan Abdullah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos depan atau suatu tarikh yang lebih awal sekiranya angka harian kes baharu positif Covid-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan. Perkenan tersebut diberikan selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu pada Isnin. Perdana Menteri berkata, darurat bukannya rampasan kuasa dan aktiviti ekonomi akan berjalan seperti biasa, tetapi Parlimen serta semua Dewan Undangan Negeri (DUN) digantung sehingga tempoh berakhir. Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) kemudian membantah pengisytiharan darurat itu yang didakwa mereka sebagai tindakan untuk Muhyiddin menyelamatkan kedudukannya, merencatkan demokrasi dan menafikan suara rakyat. - Sinar Harian Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!