suria

MPC-CPN anjur program pensijilan bantu pekerja industri kimia tingkat kemahiran

Nexus Produktiviti Kimia (CPN) mempunyai matlamat dan objektif untuk mengeratkan hubungan kerjasama antara pemain industri dengan institusi pendidikan tempatan.

KETIKA Blueprint Produktiviti Malaysia dilancarkan pada Mei 2017, kerajaan menyasarkan kadar pertumbuhan produktiviti 2.9 peratus setahun di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

Sektor swasta dengan kerjasama kerajaan akan menjadi pemacu utama bagi mencapai matlamat agenda produktiviti ini.

Dalam usaha mencapai sasaran ini, beberapa inisiatif dan aktiviti utama dengan 9 sub-sektor keutamaan telah dikenal pasti dan salah satu daripadanya adalah Kimia dan Produk Kimia.



Nexus Produktiviti Kimia (CPN) yang dipengerusikan oleh Dato’ Dr Mohamed Noor Sany merupakan salah satu daripada sembilan sektor nexus produktiviti yang diwujudkan di bawah Blueprint Produktiviti Malaysia.

Ia tampil dengan lima jawatankuasa kerja untuk melaksanakan inisiatif berbeza mengikut bidang kepakaran masing-masing.

Satu daripada jawatankuasa kerja ini mempunyai matlamat dan objektif untuk mengeratkan hubungan kerjasama antara pemain industri dengan institusi pendidikan tempatan.

"Ideanya adalah institusi pendidikan tempatan mengembangkan satu kursus, di mana ketika ini kita mulakan dengan program peringkat sijil," kata Phillip Karuppiah selaku pengarah kumpulan sumber manusia Ancom Berhad yang dilantik untuk mempengerusikan jawatankuasa kerja ini.

"Apa yang telah dilakukan, kami mengenal pasti dua institusi tempatan iaitu Politeknik Tun Syed Nasir di Pagoh dan Genovasi University College (GUC).

"Kami bekerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), PTSN dan GUC untuk mengemukakan satu program pensijilan yang dikenali sebagai Sijil Proses Kimia," katanya.



Pengarah Kumpulan Sumber Manusia Ancom Berhad, Phillip Karuppiah dilantik untuk mempengerusikan jawatankuasa kerja di bawah CPN.

Menurut Phillip, GUC adalah institusi yang pakar dalam program Pembelajaran Jarak Jauh Dalam Talian dan mempunyai Sekolah TVET, yang mana ia amat sesuai bagi peserta yang sedang bekerja dan dalam masa yang sama mahu mengikuti program berkenaan.

Sementara itu, PTSN adalah institusi pendidikan mapan yang antara lain menawarkan program diploma khusus dalam Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan Proses (Petrokimia), Teknologi Kimia dan Kejuruteraan Elektrik dan Mekanikal.

Menerangkan lebih lanjut mengenai program sijil berkenaan, Phillip berkata ia adalah program selama enam bulan yang mensasarkan pekerja dari industri kimia termasuk dari bidang bukan teknikal untuk meningkatkan kemahiran mereka, sekali gus mampu menyumbang kepada peningkatan produktiviti.

"Inisiatif utama adalah untuk meningkatkan tahap produktiviti dalam kalangan pekerja bidang industri kimia. Ramai yang bekerja di 'factory floor' tidak mempunyai peluang untuk mendapatkan kelayakan atas kertas. Selepas SPM dan STPM, mereka terus masuk bekerja.

"Dengan mengadakan satu kursus seperti ini, kita menawarkan satu peluang untuk mereka mendapatkan kelayakan sijil.

"Apa yang penting bila kita bercakap tentang teknologi, kemajuan, kita mesti seiring. Jadi salah satu perkara penting adalah meningkatkan kemahiran pekerja.

"Ia bukan sahaja untuk meningkatkan produktiviti syarikat, tapi dari perspektif kerjaya peribadi, pekerja itu sendiri akan mendapat manfaat. Mereka tak akan terperangkap dalam posisi sama bertahun-tahun," katanya.



Lawatan ke PTSN, institusi yang dipilih untuk menjalankan program pensijilan.

Tambahnya, untuk menjayakan program selama enam bulan tersebut, CPN turut bekerjasama dengan Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) dan juga penyedia pensijilan antarabangsa.

Menurut Phillip lagi, untuk peringkat permulaan, CPN menyasarkan memulakan program ini sekitar awal 2021 dengan penyertaan 20 calon pekerja dari industri kimia.

"Kami sangat berharap pihak pengurusan syarikat-syarikat ini memberi dorongan kepada pekerja mereka untuk mengambil peluang ini dan mendapatkan kelayakan.

"Jika inisiatif ini berjaya... kami yakin ia akan berjaya, kita akan memperluaskannya kepada industri lain," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain