suria

Calon SPM, SVM diberi ‘cuti’ 14 hari sebelum peperiksaan, ramai ibu bapa luahkan keresahan - “Apa kaedah yang akan digunakan guru untuk bantu pelajar?”

Sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua calon Peperiksaan SPM/SVM tahun 2020 akan berakhir pada 9 Februari ini. Gambar hiasan

"APAKAH motif utama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membenarkan calon 'bercuti' selama 14 hari sebelum berlangsungnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) atas alasan bersedia kendiri?"

Demikian persoalan yang dilontarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Khas Pendidikan Parlimen Malaysia, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berhubung keputusan KPM menghentikan sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua calon peperiksaan berkenaan.

Menerusi satu kenyataan, Jalaluddin turut mempersoalkan persediaan calon untuk menghadapi peperiksaan kerana sudah lama tidak menghadapi pembelajaran bersemuka, tetapi sudah diberi cuti selama 14 hari.

ARTIKEL BERKAITAN: Calon peperiksaan awam tak akan diambil tindakan jika berambut panjang ke sekolah - Ismail Sabri

"Apakah kaedah yang akan digunakan oleh guru dalam tempoh 14 hari sebelum peperiksaan ini untuk membantu pelajar?" katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ujarnya, dia juga menerima banyak panggilan daripada ibu bapa yang meluahkan keresahan dengan keputusan KPM itu.

Jalaluddin menambah, Lembaga Peperiksaan Malaysia dan KPM perlu mempertimbangkan untuk menurunkan graf markah bagi kedua-dua peperiksaan awam itu memandangkan sesi pembelajaran dan pengajaran calon terganggu tahun lalu.

"Saya harap ibu bapa tabah mengharungi situasi ini. Untuk calon pula, jangan berputus asa walau apa jua kesusahan yang terpaksa dihadapi.

"Saya turut mendoakan pengorbanan pendidik akan mendapat balasan yang baik dari Tuhan Yang Maha Kuasa,"katanya.

Dalam satu pekeliling bertarikh 4 Februari lalu, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata, sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua calon Peperiksaan SPM/SVM tahun 2020 akan berakhir pada 9 Februari ini.

Ia ditamatkan lebih awal bagi memberi ruang kepada calon membuat persediaan kendiri sebelum peperiksaan bermula 22 Februari ini. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain