suria

SOP terkini Tahun Baru Cina mungkin diumum Isnin, kata pemimpin persatuan Taoist

Presiden Gabungan Persatuan Taoist Malaysia, Tan Hoe Chieow berkata SOP terkini Tahun Baru Cina mungkin diumum Isnin.

VERSI terkini prosedur operasi standard (SOP) sempena Tahun Baru Cina berkemungkinan akan diumumkan pada Isnin ini, kata seorang pemimpin kumpulan agama.

Presiden Gabungan Persatuan Taoist Malaysia, Tan Hoe Chieow, yang berunding dengan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) pada Jumaat (5 Februari) berkata menteri berkenaan berkemungkinan akan membuat pengumuman tersebut.

"Lebih sesuai kerana ia adalah hari kerja," katanya.

Tan, yang menghadiri sesi dialog pertama yang dianjurkan oleh KPN pada 12 Januari lalu untuk membincangkan SOP sempena perayaan itu, mengatakan bahawa kerajaan tidak pernah memaklumkannya atau pihak lain yang juga menghadiri mesyuarat berkenaan tentang keputusan yang diambil.

ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Sabri hairan SOP Tahun Baharu Cina dikritik hebat, keputusan selepas bincang bersama 21 pertubuhan

"Kami telah memberikan input kami dan terserah kepada mereka apa yang ingin diterima dan laksanakan.

"Tidak betul untuk menganggap bahawa kami semua telah bersetuju dengan SOP. Kami hanya pergi ke mesyuarat dan memberikan pandangan kami.

"Keputusan akhir diputuskan menteri dan kerajaan," katanya.

Semasa sesi dialog yang diadakan melalui aplikasi Zoom, Tan mengatakan cadangan SOP untuk lokasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah dibincangkan.

"Ada cadangan awal untuk menghadkan kunjungan tetamu kepada 20 orang dan juga bergantung kepada saiz kediaman.

"Kami juga membincangkan mengenai had ketika bersembahyang di tokong kepada lima anggota jawatankuasa.

"Kami memberikan pandangan dan input tetapi kami tidak diberitahu tentang keputusan akhir," katanya.

Pada Khamis, kerajaan mengumumkan SOP untuk Tahun Baru Cina, di mana ia menyatakan sambutan perayaan hanya dibenarkan di kediaman bersama ahli keluarga dari rumah yang sama, termasuk makan besar juga hanya dibenarkan di kediaman bersama ahli keluarga dari rumah yang sama.

Ia juga menyatakan upacara sembahyang di tokong tidak dibenarkan kecuali hanya lima orang ahli jawatankuasa tokong

Aktiviti seperti tarian singa dan naga, perarakan 'chingay' dan pertunjukan pentas adalah tidak dibenarkan.

Perjalanan merentas sempadan daerah dan negeri juga tidak akan dibenarkan semasa Tahun Baru Cina.

SOP berkenaan mendapat kritikan hebat pelbagai pihak, namun Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tampil menjelaskan bahawa keputusan dibuat hasil perbincangan bersama MKN dan KPN yang mendapat persetujuan bersama wakil setiap pertubuhan keagamaan dan persatuan kebudayaan kaum-kaum terbabit. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain