suria

Tiga hari tempoh kuarantin menteri balik dari luar negara... ini penjelasan Dr Noor Hisham!

Ujar Dr Noor Hisham, anggota delegasi yang mengikut rawatan rasmi diberi kelonggaran untuk kuarantin di rumah masing-masing.

PENGUMUMAN mengenai tempoh pengecualian bagi menjalani pemerhatian hanya selama tiga hari atau pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai bagi menteri yang kembali dari lawatan luar negara menerima reaksi berbeza netizen.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham tampil memperjelaskan hal itu menerusi sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Selasa.

"Bagi perdana menteri yang ke Jakarta, Indonesia baru-baru ini, ujian telah dijalankan pada 3 Februari, sebelum berlepas ke Jakarta.

"Apabila sampai ke Jakarta pada 4 Februari, ujian sekali lagi dijalankan dan kembali ke Malaysia. Jadi pada 5 Februari, saya telah keluarkan HSO (home surveillance order) untuk kuarantin di rumah dan dipakai gelang pada hari pertama iaitu 5 Februari.

"Swab test dijalankan pada hari ini, hari kelima dan juga akan melengkapkan jadual kuarantin untuk tempoh tujuh hari. Jadi tujuh campur tiga, 10 hari," ujarnya.

Tambahnya, anggota delegasi yang mengikut rawatan rasmi diberi kelonggaran untuk kuarantin di rumah masing-masing.

"Mengambil maklum peruntukan Seksyen 29, Akta 342, memberi kuasa kepada Menteri Kesihatan untuk buat pengecualian menerusi perintah yang disiarkan dalam Warta Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

"Jadi semalam telah diwartakan menggunakan Seksyen 29 daripada Akta 342. Sebelum ni kita guna Akta 342, Seksyen 15 (1) iaitu setiap individu pulang dari luar negara akan diberi HSO, pakai gelang dan akan dikuarantin, dulu 14 hari, kita pendekkan 10 hari.

"Daripada 10 hari, boleh pertimbangkan untuk tujuh hari melainkan kalau telah menjalankan ujian, tiga hari sebelum pulang ke negara ini.

"Apabila ada permohonan, contohnya, pertimbangan untuk pendekkan, mereka kena menulis kepada Ketua Pengarah Kesihatan dan kita akan jalankan penilaian risiko untuk kes tersebut," jelasnya.

Terdahulu pada Selasa, dokumen perintah berjudul "Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021" itu dikeluarkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba mengikut kuasa (Akta 342) seksyen 29 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Berdasarkan perintah berkenaan, menteri berkaitan tidak perlu menjalani prosedur operasi standard (SOP) tempoh kuarantin 10 hari yang ditetapkan kerajaan untuk mereka yang masuk dari luar negara.

Pengecualian itu berkuatkuasa mulai 9 Februari hingga 1 Ogos depan seperti mana dalam dokumen pewartaan yang disiarkan dalam portal rasmi e-warta Persekutuan pada Isnin.

Pada 9 Februari lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pulang ke Malaysia selepas melakukan lawatan rasmi kurang 24 jam ke Indonesia.

Lawatan rasmi Muhyiddin adalah atas undangan Jokowi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain