KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) pada Rabu mengeluarkan satu FAQ (Soalan Lazim) berhubung pengurusan pentaksiran pusat dan peperiksaan awam. Ia dikongsi menerusi laman Facebook rasmi KPM. 1) Adakah peperiksaan SPM/SVM/SKM/STAM/STPM dan peperiksaan antarabangsa yang setara bagi murid-muridh tahun 2020 akan dijalankan? Ya. Peperiksaan akan dijalankan mengikut jadual yang ditetapkan. 2) Adakah calon peperiksaan perlu mendapatkan surat kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi merentas daerah/negeri untuk hadir ke pusat peperiksaan? Tidak. Calon hanya perlu mengemukakan dokumen pengesahan sebagai calon peperiksaan awam seperti Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan/Laporan Pendaftaran Kemasukan Calon sekiranya diminta oleh PDRM. 3) Adakah petugas peperiksaan peperiksaan perlu mendapatkan surat kebenaran PDRM bagi merentas daerah/negeri untuk bertugas di bilik kebal/pusat peperiksaan? Tidak. Petugas peperiksaan hanya perlu mengemukakan dokumen pengesahan sebagai petugas yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri/Lembaga Peperiksaan/Majlis Peperiksaan Malaysia sekiranya diminta PDRM. 4) Adakah calon dan petugas perlu memakai pelitup separuh muka di sekolah dan sepanjang tempoh peperiksaan dijalankan? Ya. 5) Adakah calon sekolah dan calon persendirian perlu membuat pengisytiharan kesihatan sebelum memasuki pusat peperiksaan? Ya. Calon sekolah dan calon persendirian hendaklah membuat pengisytiharan kesihatan pada setiap hari melalui salah satu kaedah berikut. a) Dapatkan Borang Deklarasi Saringan Covid-19 yang disediakan pihak sekolah/Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Negeri. Borang yang lengkap diserah kepada Ketua Pengawas Peperiksaan; atau b) Muat turun Borang Deklarasi Saringan Covid-19 dari portal rasmi Lembaga Peperiksaan. Borang yang lengkap diserah kepada Ketua Pengawas Peperiksaan. 6) Apakah tujuan pengisian Borang Deklarasi Saringan Covid-19? Bagi memastikan maklumat tahap kesihatan calon dimaklumkan dengan tepat bagi membantu petugas peperiksaan mengurus calon mengikut SOP bersesuaian. 7) Adakah calon dengan suhu badan lebih 3.5 celcius dibenarkan menduduki peperiksaan? Tidak. 8) Apakah tindakan calon jika mempunyai gejala? a) Menghubungi pihak sekolah. Bagi calon persendirian, perlu hubungi SSP, JPN tempat calon mendaftar. b) Mendapatkan rawatan di klinik/hospital untuk dapatkan pengesahan tahap kesihatan diri. c) Sekiranya bebas gejala Covid-19, calon dibenar menduduki peperiksaan. d) Setelah mendapatkan rawatan di klinik/hospital dan calon hadir di pusat peperiksaan tidak melebihi 30 minit daripada waktu mula peperiksaan, calon akan dibenarkan untuk menduduki peperiksaan pada hari sama di pusat peperiksaan dan diberi gantian masa menjawab. e) Sekiranya setelah mendapat rawatan dan hari melepasi 30 minit, calon tidak dibenarkan menduduki peperiksaan tetapi dibenarkan untuk menduduki peperiksaan yang dijadualkan semula. f) Calon yang disahkan mempunyai gejala Covid-19 hendaklah menyerahkan surat/dokumen pengesahan tahap kesihatan diri/arahan kuarantin kepada pihak sekolah bagi permohonan menduduki kertas peperiksaan yang dijadualkan semula. 9) Mengapa surat/dokumen pengesahan tahap kesihatan diri/arahan kuarantin diperlukan? Ia sebagai dokumen sokongan untuk pertimbangan membenarkan menduduki peperiksaan yang dijadualkan semula. 10) Apakah tindakan yang perlu dilakukan jika calon diarah menjalani kuarantin sebelum hadir ke pusat peperiksaan? a) Calon Sekolah: Menghubungi pihak sekolah. Calon juga dikehendaki kekal berada di rumah/asrama/pusat kuarantin b) Calon Persendirian: Hubungi SPP/JPN tempat calon mendaftar. Juga dikehendaki kekal berada di rumah/pusat kuarantin. 11) Apakah tindakan jika calon dikenal pasti oleh PKD positif Covid-19 atau calon yang diarahkan kuarantin dan tidak dapat menduduki peperiksaan? a) Calon Sekolah: Hubungi pihak sekolah dan mengemukakan maklumat mengenai kuarantin beserta dokumen berkaitan. b) Calon Persendirian: Hubungi SPP/JPN tempat calon mendaftar, mengemukakan maklumat mengenai kuarantin beserta dokumen berkaitan. 12) Adakah calon positif Covid-19 atau calon yang diarah kuarantin boleh menduduki peperiksaan? Tidak. 13) Bilakah calon positif atau yang diarah kuarantin boleh menduduki peperiksaan? Selepas tempoh rawatan/kuarantin dan disahkan sihat. 14) Bagaimana dengan kertas peperiksaan yang tidak diduduki? Calon boleh menduduki kertas yang dijadualkan semula. 15) Apakah tindakan sekolah jika ibu bapa/penjaga memaklumkan bahawa anak jagaan mereka yang berada di pusat peperiksaan dikenalpasti sebagai kontak rapat Covid-19? Petugas peperiksaan perlu mengasingkan calon di bilik peperiksaan khas untuk meneruskan peperiksaan. Pihak sekolah hubungi PKD untuk tindakan lanjut. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!