SEPASANG suami isteri didakwa atas tuduhan mendera dan menyebabkan kematian kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di dua mahkamah berasingan di Ayer Keroh, pada Rabu. Bagi pertuduhan pertama di Mahkamah Majistret, Mohd Fadzli Abdull Razak, 38, dan Zuraida Atan, 32, didakwa atas tuduhan bunuh dengan menyebabkan kematian Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malek di hadapan majistret Mazana Sinin. Kedua-duanya merupakan bapa tiri dan ibu kandung mangsa. ARTIKEL BERKAITAN: Kes dera: Reman ibu kandung, bapa tiri dilanjut 7 hari Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 3.32 petang, 29 Januari 2021 di sebuah rumah di Taman Krubong Jaya, Melaka. Pasangan itu berdepan dengan hukuman mati jika disabitkan kesalahan. Mereka turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mendera mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal. Sekiranya disabitkan kesalahan bagi tuduhan itu mereka boleh dipenjara hingga 30 tahun, denda hingga RM20,000, atau kedua-duanya sekali. Pasangan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 13 Oktober 2020, hingga 29 Januari 2021 di lokasi yang sama dengan kesalahan pertama. Hakim bagaimanapun tidak membenarkan sebarang jaminan dan mahkamah menetapkan 29 Mac depan untuk sebutan semula kes tersebut. Mohd Fadzli, bapa tiri mangsa, diwakili oleh peguam Datuk Ahmad Musthafi Mohamad dan Muhammad Firdaus Abd Razak. Sementara itu Zuraida diwakili oleh Zamri Idrus, Ishak Mohd Kari, Yusman Che Aman dan Saifuzzaman Ab Rahman. Media sebelum ini melaporkan bahawa bapa tiri kanak-kanak tersebut membuat laporan polis yang mendakwa bahawa mangsa lemas di dalam bekas air di rumahnya. Bagaimanapun, siasatan awal polis mengesyaki berlaku penderaan terhadap mayat kanak-kanak tersebut. -THE STAR Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!