suria

Covid-19: 126,000 individu disuntik vaksin sehari bermula akhir bulan ini - Dr Adham

Suntikan vaksin Covid-19 bermula akhir Februari ini. gambar hiasan foto The Jakarta Post/ANN

SEHINGGA 126,000 individu dijangka diberikan suntikan vaksin Covid-19 sehari apabila Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula akhir bulan ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, tujuh vaksinator akan ditempatkan di setiap 600 lokasi vaksinasi di seluruh negara.

"Kementerian Kesihatan telah mengenal pasti dan menyiapkan 600 lokasi vaksinasi di seluruh negara yang merangkumi tempat-tempat seperti klinik kesihatan serta hospital kerajaan dan swasta.

"Kita akan menempatkan tujuh vaksinator di setiap lokasi ini. Seorang vaksinator diharapkan dapat menyuntik 30 orang dalam sehari, ini bermakna maksimum 210 orang dapat menerima vaksin di setiap lokasi setiap hari," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan di tiga lokasi asrama pekerja kilang di Senai, Kulai di Johor.

Pada 4 Februari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, kerajaan akan memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan tiga fasa mulai hujung bulan ini, dengan kerajaan menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin itu yang akan diberikan secara percuma.

Fasa pertama dari Februari hingga April adalah untuk kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan yang terbabit secara langsung dalam memerangi wabak itu, sementara fasa kedua dari April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi selain golongan orang kurang upaya (OKU).

Fasa ketiga pula adalah bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas dari Mei ini hingga Februari tahun depan. - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Sebelum

Artikel Lain