suria

Penyebaran dua video fitnah, Ismail Sabri buat laporan polis

Ismail Sabri membuat laporan polis susulan penyebaran dua video yang didakwa memfitnah dirinya. Foto: The Star

SUSULAN penyebaran video lama yang didakwa memfitnah dirinya berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, membuat laporan polis pada Sabtu.

Menurut Ismail Sabri, penyebaran dua video lama yang kini ditularkan kembali di Facebook boleh mengelirukan rakyat.

Video pendek pertama, adalah dirakam ketika sidang media pada 14 April 2020, yang mana dakwa beliau seolah-olah cuba mengelirukan rakyat berkaitan kompaun sekiranya melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP).

ARTIKEL BERKAITAN: Video fitnah tak patuh SOP tular di Facebook, Ismail Sabri akan buat laporan polis

"Video tersebut ditularkan kononnya ia adalah sidang media terbaru dan ia seakan bertujuan mengelirukan rakyat kononnya tiada lagi saman dan kompuan akan dikenakan sekiranya melanggar SOP sebaliknya rakyat akan terus dipenjarakan.

"Video tersebut adalah video lama dan kerajaan sudah melakukan pelbagai penambahbaikan dalam pelaksanaan SOP.

"Video kedua yang tular dan diberi tajuk 'sendiri buat SOP sendiri langgar' sebenarnya adalah rakaman di mana saya hadir dalam satu majlis santai bersama penggiat seni tanah air sempena Kempen Tabung Hari Pahlawan pada 16 September tahun lalu.

"Video tersebut dengan sengaja disebarkan kononnya majlis itu adalah sambutan Tahun Baharu Cina dan ingin saya tegaskan bahawa majlis tersebut diadakan ketika dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya dalam satu kenyataan.

Justeru ujarnya, tujuan laporan polis terhadap kedua-dua video tersebut dibuat adalah bagi menghentikan penularan fitnah terhadapnya.

"Implikasi daripada penyebaran video ini boleh menyebabkan timbulnya kemarahan rakyat sekali gus menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan rakyat kepada saya," katanya lagi.

Ismail Sabri bagaimanapun tidak hadir ketika membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, tengah hari Sabtu.

Beliau sebaliknya diwakili oleh setiausaha akhbarnya, Azlina Md Rosdy.

Sementara itu, Azlina berkata pihaknya juga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada Jumaat.

Ujarnya, SKMM sedang menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain