suria

Anggota polis didakwa lakukan gangguan seksual ketika sekatan jalan raya dikenal pasti - Bukit Aman

Anggota polis yang didakwa melakukan salah laku ketika sekatan jalan raya sudah dikenal pasti. Gambar hiasan.

ANGGOTA polis yang didakwa terlibat dalam dua insiden gangguan seksual ketika melakukan sekatan jalan raya, telah dikenal pasti.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, siasatan sedang dijalankan.

"Tindakan segera kami adalah mengeluarkan anggota polis yang terlibat daripada tugas sekatan jalan raya sementara menunggu siasatan.

"Kami akan menyiasat perkara itu secara telus dan teliti," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat 2 dakwaan salah laku anggota, termasuk insiden ‘tak pakai bra’ di sekatan jalan raya

Polis juga telah merakam kenyataan dua wanita yang membuat dakwaan berkenaan, tambahnya.

"Kami ingin mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai apa yang berlaku.

"Kami telah merakam kenyataan kedua-dua wanita itu dan kami akan mencari lebih banyak bukti yang berkaitan dengan kejadian itu," katanya.

Kejadian pertama melibatkan seorang wanita di Pulau Pinang, yang mendakwa seorang anggota polis telah meminta nombor telefonnya ketika melalui satu sekatan jalan raya.

Angota polis itu kemudian didakwa menghubunginya untuk berkenalan.

Kejadian lain melibatkan seorang wanita yang mendakwa seorang anggota polis mengeluarkan kritikan yang tidak wajar kerana tidak memakai bra, ketika melalui satu sekatan jalan raya di Jalan Duta.

Kedua-dua wanita tersebut berkongsi pengalaman dan dakwaan mereka menerusi platform media sosial.

Zamri berkata polis juga mencari saksi lain yang dapat mengesahkan tuduhan yang dibuat pengadu.

Zamri juga menggesa individu yang menghadapi kejadian serupa untuk tampil agar polis dapat menyiasat perkara tersebut dan mengambil tindakan yang sewajarnya. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain