suria

Polis terima laporan IPTA, buka kertas siasatan isu ‘sugar baby’

Pihak polis sedang menyiasat isu sugar baby yang menjadi perhatian ramai ketika ini. Gambar hiasan

SATU laporan polis telah dibuat berhubung mahasiswa di Lembah Klang yang didakwa menggunakan aplikasi Sugarbook, bagi mencari 'sugar daddy'.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, laporan polis tersebut dibuat oleh sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

"Pihak polis telah membuka kertas siasatan setelah menerima laporan tersebut.

"Kami telah berhubung dengan pengurusan institusi berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai aktiviti yang didakwa membabitkan kalangan pelajarnya.

"Malah, kami menggesa universiti atau kolej lain melaporkan perkara itu kepada polis jika mereka mempunyai maklumat seperti itu," katanya pada Ahad.

Ujarnya, JSJ Bukit Aman sudah mengarahkan Bahagian (D3) Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, menjalankan siasatan lanjut berhubung kegiatan berkenaan.

"Kami turut memulakan siasatan terhadap aplikasi itu (Sugarbook) untuk mengenal pasti kegiatan sebenar yang berkemungkinan menjurus kepada aktiviti pelacuran.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegusaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan," katanya

"Siasatan juga dijalankan bawah Seksyen 372 Kanun Keseksaan kerana pelacuran," tambahnya.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ugama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary menggesa agar aplikasi 'Sugarbook' disekat kerana didakwa digunakan oleh pelajar IPT untuk mencari 'sugar daddy'.

Ujarnya, sekiranya perkara itu benar-benar berlaku, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat khususnya pengendali aplikasi tersebut.

Sugarbook mendakwa hasil tinjauan mendapati semakin semakin pelajar universiti awam dan swasta di negara ini menggunakan aplikasinya untuk mencari 'sugar daddy' bertujuan mendapatkan wang dengan mudah terutamanya ketika pandemik Covid-19. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

sugar baby, sugar daddy, IPTA

Artikel Lain