PRESIDEN Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya akibat sesak nafas pada Isnin malam. Perkara itu dimaklumkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi satu posting di Facebook. Ujar Najib, Ahli Parlimen Marang itu kini berada dalam keadaan stabil. Difahamkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang juga Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut berada di hospital tersebut. Menurut kenyataan itu, doktor memaklumkan bahawa keadaan Abdul Hadi stabil. "Jantung beliau lemah berkemungkinan disebabkan dalam keadaan penat," kata kenyataan itu. Katanya, doktor telah memaklumkan bahawa Abdul Hadi akan dirujuk ke Institut Jantung Negara untuk rawatan susulan. Beliau juga akan membuat ujian swab di IJN. Difahamkan, beliau dibawa ke institut tersebut pada pukul 9.50 malam dengan menggunakan ambulans. Dalam pada itu, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memuat naik status di Twitternya berhubung keadaan Presiden Pas itu. "Menerima berita mengejutkan Abdul Hadi telah dimasukkan Hospital Putrajaya malam ini sebelum dipindahkan ke IJN untuk rawatan lanjut. "Marilah kita bersama mendoakan kesembuhan kepada tuan guru dan kembali sihat seperti sedia kala," katanya. - Sinar Harian. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!