suria

Vaksin: “Setiap individu ada pandangan, tapi pakar dapat beri maklumat sahih dan terkini” – Dr Noor Hisham

Vaksin Pfizer-BioNTech berjaya didaftar oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). -gambar hiasan foto RAJA FAISAL HISHAN/The Star

KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setiap pandangan mengenai vaksin Covid-19 perlu berlandaskan kepada bukti saintifik.

Merujuk kepada segelintir pandangan yang tidak tepat mengenai vaksin tersebut, beliau berkata, semua pihak perlu mendapatkan maklumat yang sahih daripada pakar.

"Kalau kita lihat pandangan tersebut, mungkin setiap individu ada pandangan. Yang penting dapatkan pandangan daripada pakar-pakar, maklumat yang sahih supaya kita dapatkan maklumat yang terkini mengenai vaksin tersebut.

"Kita perlu lihat berdasarkan pada bukti-bukti saintifik, contohnya sebelum kita luluskan (vaksin)...NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara) akan melihat kepada kajian fasa III (tiga) vaksin tersebut, juga keberkesanan dan keselamatan vaksin," katanya pada sidang media, petang Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai segelintir pengamal perubatan termasuk bekas kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memberikan maklumat tidak tepat mengenai vaksin.

Dr Noor Hisham berkata, KKM juga perlu menjalankan sesi libat urus dengan beberapa pihak seperti badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan doktor-doktor swasta.

"Ia supaya kita dapat memberikan maklumat yang sahih, juga bukti-bukti yang kukuh serta kepercayaan kepada vaksin. NPRA melihat kepada semua aspek vaksin tersebut," katanya sambil menambah kesan sampingan vaksin turut dipantau.

Pada Isnin pagi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan laman sesawang www.VaksinCovid.gov.my di mana program berkenaan akan bermula 26 Februari ini.

Awal bulan ini, Muhyiddin dilaporkan berkata, kerajaan akan memulakan program tiga fasa itu dengan menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin itu yang akan diberikan secara percuma.

Fasa pertama dari Februari hingga April adalah untuk kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan yang terbabit secara langsung dalam memerangi wabak itu, sementara fasa kedua dari April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi selain golongan orang kurang upaya (OKU).

Fasa ketiga pula adalah bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas dari Mei ini hingga Februari tahun depan.

Pada 8 Januari lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mengumumkan bahawa vaksin Pfizer-BioNTech berjaya didaftar oleh NPRA, sekali gus memberi kelulusan bersyarat untuk penggunaan vaksin itu di negara ini.

Selain Malaysia, 49 negara lain turut memberi kelulusan terhadap vaksin berkenaan dengan sebahagian negara terbabit telah mula menggunakan vaksin itu.

Untuk rekod, vaksin Pfizer juga menjadi vaksin Covid-19 yang pertama mendapat perakuan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk kegunaan kecemasan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain