KUMPULAN pertama vaksin Covid-19 untuk diberikan kepada rakyat Malaysia akan tiba ke negara ini pada Ahad depan. Ia sekaligus bakal membuka jalan untuk Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 yang akan bermula secara berperingkat mulai 26 Februari. ARTIKEL BERKAITAN: Bekalan pertama pada Februari 2021, PM antara individu terawal bakal terima vaksin Covid-19 Seperti yang dijadualkan, individu pertama yang akan diberi suntikan adalah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang akan menerima suntikan vaksinnya bersama petugas barisan hadapan lain pada hari pertama program itu. “Di sini, saya dengan senang hati mengumumkan bahawa vaksin Pfizer-BioNTech akan tiba di Malaysia pada 21 Februari. "Berikutan itu, pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 akan dimulakan pada 26 Februari yang mana saya sendiri akan menerima vaksin, bersama dengan petugas barisan hadapan lain," kata Muhyiddin pada pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Turut hadir dalam majlis pelancaran itu ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin. Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 - yang terbesar pernah dilaksanakan di Malaysia - terdiri daripada tiga fasa, yang mana fasa pertama dari 26 Februari hingga April akan melibatkan vaksinasi pekerja barisan hadapan negara. Fasa kedua, dari April hingga Ogos, akan melibatkan mereka yang dikategorikan sebagai kumpulan berisiko tinggi, seperti golongan tua. Fasa ketiga akan melibatkan orang dewasa berumur 18 tahun ke atas, bermula dari Mei 2021 hingga Februari 2022. - The Star. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!