SIKAP masyarakat yang mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat' menjadi antara punca jumlah pendaftaran untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 masih berada pada tahap yang rendah. Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, pendaftaran untuk vaksin Covid-19 hanya mencatatkan 6.1 peratus berbanding sasaran asal iaitu 80 peratus. Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, sehingga pukul 11 pagi Isnin (1 Mac), seramai 1,468,137 orang telah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera. ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan pandang serius isu potong barisan terima vaksin, pantau maklumat di media sosial "Ini hanya mewakili 6.1 peratus daripada keseluruhan penduduk, berbanding sasaran asal kita iaitu 80 peratus. "Pendaftaran agak rendah dan kita perlu meningkatkan usaha untuk lebih ramai mendaftar," katanya ketika mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), pada Isnin. Menurut Khairy lagi, kerajaan sudah menjangka situasi tersebut namun turut menzahirkan kebimbangan dengan kadar peratusan yang masih rendah itu. "Kita sudah jangka keadaan sebegini, tetapi saya percaya apabila ramai lagi barisan hadapan terima vaksin, rakyat akan lebih yakin untuk membuat pendaftaran," ujarnya. Beliau juga menjangkakan jumlah pendaftaran akan meningkat berikutan pelancaran hotline dan pendaftaran laman web dalam talian pada 5 Mac nanti. "Klinik dan hospital juga telah membuka kaunter untuk pendaftaran vaksin," tambahnya. Menurut Khairy, setakat ini seramai 17,064 orang kini sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 di seluruh negara, . Katanya, daripada jumlah itu, Sarawak mendahului senarai mereka yang diberi vaksin dengan 7,402 penerima diikuti oleh Pahang (2,419) dan Perak (1,277). - THE STAR Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!