suria

Suami jadi suspek utama kes tembak mati isteri, mayat dimasukkan dalam tong biru

Polis merampas senapang angin, senapang patah, 54 butir peluru, sebuah kenderaan, dan jengkaut yang merupakan milik suspek utama.

RASA marah mendorong seorang lelaki berusia 43 tahun untuk membunuh isterinya, ibu kepada dua cahaya mata di rumah mereka di Taman Saujana, Kota Tinggi, Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek menembak wanita berusia 38 tahun itu pada jarak dekat menggunakan senapang angin ketika mangsa sedang tidur di bilik tidur mereka.

"Laporan orang hilang dibuat pada hari Isnin (1 Mac) setelah mangsa, seorang kerani, dipercayai meninggalkan rumah mereka sekitar jam 2 pagi berikutan perselisihan dengan suspek," katanya pada sidang media di ibu pejabat polis negeri pada Jumaat.

Setelah siasatan dibuat, polis menangkap suspek yang kemudiannya mengaku melakukan perbuatan itu.

"Suami mengaku menembak mangsa di perut menggunakan senapang angin sebelum menutup tubuhnya dengan cadar dan meletakkan jenazah di dalam tong plastik biru.

"Suami, dibantu oleh suspek yang lain, kemudiannya mengambil tong itu dan menimbusnya di ladang kosong di Bandar Penawar," tambahnya.

Tambah beliau, lelaki itu turut membawa polis ke tempat mangsa dikebumikan sekitar jam 10.30 pagi pada Khamis.

Tambahnya, siasatan setakat ini menunjukkan motif di sebalik pembunuhan itu adalah rasa cemburu kerana pasangan itu sedang dalam proses untuk berpisah.

"Suspek dan mangsa mempunyai dua anak kecil yang kini berada di bawah jagaan keluarga Allahyarham isteri," katanya.

Dalam pada itu, polis merampas senapang angin, senapang patah, 54 butir peluru, sebuah kenderaan, dan jengkaut yang merupakan milik suspek utama.

Suspek juga tidak mempunyai permit untuk senjata tersebut.

Kedua-dua lelaki itu direman hingga 10 Mac untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Polis juga sedang menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960. - The Star.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain