suria

Kes tembak isteri: Kesan lebam, peluru senapang angin ditemui pada mayat

Terdapat kesan lebam dan beberapa butir peluru ditemui pada mayat wanita yang menjadi mangsa bunuh suami sendiri. Gambar hiasan

TERDAPAT kesan lebam di beberapa bahagian tubuh wanita yang meninggal dunia dipercayai ditembak oleh suaminya dengan senapang angin di Taman Saujana Kota Tinggi, Johor.

Bagaimanapun menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Datuk Md Yusof Ahmad, pihaknya masih menunggu laporan forensik bagi menentukan kes berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami jadi suspek utama kes tembak mati isteri, mayat dimasukkan dalam tong biru

"Laporan awal bedah siasat mendedahkan bahawa terdapat kesan lebam pada badan mangsa.

"Beberapa butir logam timah dipercayai peluru daripada senapang angin turut ditemui di beberapa bahagian badan termasuk dada dan perut mangsa," katanya pada Sabtu.

Negara digemparkan dengan kes kematian seorang wanita berusia 38 tahun susulan penemuan mayat mangsa di dalam tong air biru di sebuah kawasan ladang serai di Bandar Penawar, Johor Bahru pada Khamis.

Terdahulu, wanita itu yang juga ibu kepada dua cahaya mata dikatakan tidak pulang ke rumahnya di Taman Saujana, Kota Tinggi sejak Isnin lalu.

Jiran wanita berkenaan kemudian membuat laporan polis berkenaan kehilangannya.

Susulan laporan tersebut, suami wanita terbabit yang bekerja sebagai pemandu jengkaut dan rakannya berumur 32 tahun ditahan pada Selasa.

Hasil siasatan, wanita itu dipercayai ditembak mati oleh suaminya berusia 43 tahun ketika sedang tidur menggunakan senapang angin, sebelum menutup tubuhnya dengan cadar dan meletakkan jenazah di dalam tong plastik biru.

Suaminya yang dibantu oleh suspek yang lain, kemudiannya menimbus tong berkenaan di ladang serai.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay sebelum ini berkata, pembunuhan tersebut bermotifkan cemburu selain polis turut menemui surat tuntutan fasakh di rumah mereka. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain