suria

PM, isteri tiba di Jeddah tunai ibadah umrah sebelum mula lawatan rasmi

Ketibaan Muhyiddin dan isteri disambut oleh Duta Malaysia ke Arab Saudi Datuk Abd Razak Abdul Wahab. Foto: Bernama

TAN Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman selamat tiba di Jeddah untuk lawatan rasmi ke Arab Saudi.

Memetik laporan Astro Awani, Perdana Menteri yang tiba pada pukul 5.31 petang waktu tempatan (10.31 malam di Malaysia) akan memulakan lawatan rasmi selama empat hari.

Ketibaan beliau dan isteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Abd Razak Abdul Wahab dan isteri Datin Nor Asimah Petah, Konsulat Besar Malaysia di Jeddah, 'Alauddin Mohd Nor dan isteri Najwa Hasbullah dan Gabenor Jeddah Putera Mishaal Majed.

Lawatan rasmi itu adalah atas jemputan Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud.

Beliau dan isteri akan menunaikan umrah dan kemudian melakukan ziarah di Madinah terlebih dahulu, sebelum memulakan program rasmi di Istana Al-Yamamah di Riyadh pada 9 Mac.

Perdana Menteri seterusnya akan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk bertemu dengan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dan Perdana Menteri UAE yang juga Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain