suria

Tular foto Tok Pa naik bas ekspres balik Kelantan

Mustapa dilihat menaiki bas ekspres bersama beberapa orang pegawainya. foto Astro Awani

BEBERAPA gambar Datuk Seri Mustapa Mohamed menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan menjadi tular di media sosial.

Foto Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu dikongsi oleh seorang penumpang bas ekspres yang mengesan kehadiran menteri berkenaan.

Difahamkan, Mustapa, yang ditemani oleh beberapa pegawai dan anggota polis, menaiki bas dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan di Kuala Lumpur ke Kota Bharu berikutan tiada penerbangan ke Kelantan pada Jumaat malam (5 Mac).

Seorang pegawai bersama beliau memberitahu penumpang berkenaan bahawa menteri menolak untuk menaiki kereta ke Kelantan kerana beliau mahu merasai pengalaman menaiki bas ekspres walaupun perjalanan mengambil masa kira-kira lapan jam.

Seorang penumpang, Raja Zaidi Raja Mohamed berkata, dia terkejut melihat menteri dalam bas dan mengambil kesempatan untuk merakamkan beberapa gambar selfie dengan beliau.

"Saya tidak menyangka akan berjumpa dengan menteri dalam bas.

"Mana ada menteri naik bas ekspres balik Kelantan," kata Raja Zaidi dipetik sebagai berkata kepada portal berita Astro Awani.

Difahamkan, Tok Pa menteri pertama di Malaysia yang pulang ke kawasannya menaiki bas ekspres.

Tok Pa yang merupakan Ahli Parlimen Jeli, tiba di Terminal Bas Lembah Sireh, Kota Bharu kira-kira pukul 6 pagi Sabtu.

Dilaporkan, beliau perlu berada di Kelantan pada pagi Sabtu bagi mengikuti beberapa program bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali. - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain