suria

Mulai esok rentas antara negeri PKPP dibenarkan tapi ada syaratnya

Ismail Sabri mengumumkan Langkawi  akan bertukar status menjadi PKPP, juga bermula esok.

KERAJAAN hari ini mengumumkan kebenaran pergerakan pelancongan dari negeri berstatus Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ke PKPP yang lain berkuat kuasa Rabu (10 Mac 2021).

Hal itu dimaklumkan oleh Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa petang.

Namun katanya, terdapat beberapa syarat dalam pergerakan itu yang mana ia tidak terpakai kepada individu secara persendirian.

"Syarat pertama, kena guna perkhidmatan syarikat pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac). Kedua, kena guna kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan Motac.

"Seterusnya, pergerakan kenderaan persendirian tidak dibenarkan. Hanya syarikat pelancongan yang mendapat kebenaran PDRM dibenarkan melakukan pergerakan ini.

"Syarat lain, perjalanan mestilah terus dari negeri PKPP ke PKPP. Jika terpaksa melalui negeri PKP Bersyarat (PKPB), perjalanan perlu diteruskan tanpa berhenti di kawasan PKPB," ujarnya.

Dalam sidang media sama, Ismail Sabri mengumumkan Langkawi akan bertukar status menjadi PKPP, juga bermula esok.

Ia susulan pulau pelancongan itu yang kini berada dalam zon hijau dan hanya merekodkan dua kes terakhir pada 20 Februari lalu.

"Jadi, kebenaran gelembung pelancongan bersasar domestik turut terpakai untuk Langkawi, tetapi Kedah masih kekal PKPB," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain