SEKUMPULAN media tempatan dan antarabangsa berkumpul di hadapan Kedutaan Korea Utara di Jalan Batai, Kuala Lumpur pada Jumaat. Ia susulan tindakan Korea Utara yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia, awal hari ini. Pengamal media berkumpul seawal pukul 9 pagi untuk memantau situasi serta sebarang aktiviti di kedutaan tersebut. Beberapa kereta dilihat meninggalkan kawasan kedutaan namun tidak memberhentikan kenderaan mereka ketika melalui kumpulan pengamal media. Difahamkan, Wisma Putra akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkembangan tersebut. Terdahulu, media kerajaan Korea Utara, KCNA melaporkan negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia. Ia adalah tindak balas terhadap tindakan Malaysia mengekstradisi seorang rakyat Korea Utara ke Amerika Syarikat (AS), awal bulan ini. Kementerian itu menyifatkan tindakan berkenaan sebagai 'jenayah tidak boleh dimaafkan' yang didakwa dilakukan kerana tekanan AS. Lelaki Korea Utara yang dikenali sebagai Mun Chol Myong, gagal dalam rayuan terakhirnya di mahkamah Malaysia terhadap perintah ekstradisi ke AS untuk menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram. - THE STAR Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!