POLIS sedang menyiasat dakwaan cabul yang melibatkan seorang ahli politik, kata Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak. Menurut beliau dalam satu kenyataan pada Ahad, kes itu dilaporkan pada hari Selasa lalu namun ia didakwa berlaku pada tahun 2020. Mangsa adalah seorang ahli perniagaan berusia 48 tahun yang melaporkan bahawa sekitar bulan Julai atau Ogos tahun lalu, dia dan suaminya dikunjungi oleh suspek dan isterinya di rumah mereka di Taman Bukit Melawati, Kuala Lumpur. "Pasangan itu bermalam di sana. Pada awal pagi, mangsa sedang tidur di kawasan ruang tamu di tingkat satu ketika dia bangun dan menyedari suspek mencium sambil meraba dadanya," kata beliau. Tambah beliau lagi, mangsa memberitahu polis bahawa suspek kemudian menyedari dia sudah terjaga dan segera turun ke bawah untuk membawa isterinya pulang. "Dia takut membuat laporan kerana bimbang akan menjejaskan hubungan antara mereka dan dia tidak pasti apa yang harus dilakukan kerana suspek adalah ahli politik berpengaruh dari sebuah negeri di Pantai Timur," katanya. Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan sehingga kini belum ada tangkapan dibuat. - The Star. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!