PENDUDUK dan pemilik premis perniagaan di daerah Petaling, Klang dan Shah Alam bakal berdepan dengan gangguan bekalan air berjadual dalam tempoh 48 jam, mulai 30 Mac ini. Gangguan yang dijadualkan berlaku dari pukul 9 pagi hingga 9 malam setiap hari, meliputi lima kawasan di Wilayah Petaling, 14 kawasan di Wilayah Klang dan 11 kawasan di Wilayah Shah Alam. Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan berkata, ia susulan kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu berdekatan kilang Carlsberg di Persiaran Selangor Seksyen 15, Shah Alam. "Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 9.00 pagi, 1 April 2021," katanya dalam kenyataan pada 24 Mac. Selain itu, satu lagi gangguan bekalan air dijangka berlaku melibatkan 12 kawasan diWilayah Gombak dan 46 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur mulai 6 April. Gangguan tersebut yang dijangka berlangsung selama 68 jam, akan bermula dari pukul 9 pagi hingga 9 malam setiap hari. Ia susulan kerja-kerja penggantian paip di jajaran paip air mentah dari Empangan Klang Gates. "Ini menyebabkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Bukit Nanas dan Wangsa Maju. "Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada 9 April 2021, jam 5.00 pagi," kata Air Selangor. Air Selangor menasihatkan para pengguna terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dalam tempoh tersebut. Untuk senarai kawasan yang terjejas atau maklumat lebih lanjut, sila layari www.airselangor.com atau aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. - THE STAR Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!